syarikat bas idaman |
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam serta selawat dan salam ke atas junjungan baginda nabi Muhammad s.a.w penghulu segala nabi.
Aku merupakan seorang perantau kota. Menjadi seorang penuntut di sebuah IPTA. Jauh dari rumah kediaman. Bernafas di tahun 2013 sebagai penuntut tahun akhir pengajian sarjana muda InsyaAllah. Keputusan untuk menyambung peringkat sarjana masih belum kelihatan sehinggalah aku bakal bergraduasi nanti.
Ketika cuti pengajian menjelang, keinginan pulang membuak di hati. Menjadikan aku dan rakan-rakan sepengajian yang lain sebagai pelanggan tetap bas ekspress untuk pulang ke desa halaman. Sekian lama menjadi penuntut kota, menjadikan aku rimas dengan sedikit sebanyak masalah yang timbul sewaktu perjalanan pulang. Setelah 4 tahun memegang status penuntut universiti, pelbagai tiket bas ekspress telah aku miliki; Transnasional, Sani Ekspress, Adik Beradik, Mutiara, SP Bumi, SE Warisan, Etika, Mega Jaya dan pelbagai lagi. Walau pelbagai jenama tetapi masing-masing melahirkan masalah yang sama buat penumpang seperti aku.
Kini, tibalah untuk aku mencurahkan sedikit cadangan buat semua pemandu bas ekspress sekalian. Dengarlah luahan dari seorang penumpang rantauan.
1. Berlainan Jantina
lelaki dan perempuan |
Link
Walaupun tidak pernah mendengar sebarang aduan, perkara ini patut juga dielakkan. Cadangannya, penjual tiket perlu menyusun seat dengan mengagihkan mengikut jantina. Tandakan pada setiap no seat di dalam sistem komputer dengan jantina sama ada L atau P. Sedikit sebanyak boleh mengelakkan berlaku masalah di atas. Aku rasa penumpang juga tidak mempunyai banyak masalah dengan kedudukan seat asalkan bukan bersebelahan dengan berlainan jantina
2. Pilihan Tempat Rehat.
Mungkin ini juga menjadi penyebab ramai orang tidak memilih syarikat bas ekspress yang kurang terkenal. Semuanya kerana mereka tidak mahu menjadi mangsa keadaan kerana kebiasaan pemandu bas akan berhenti rehat di tempat yang tidak dikenali yang pastinya kurang selesa untuk penumpang. Buat pemandu sekalian, harap dapat memilih tempat rehat yang berkualiti untuk memastikan penumpang selesa setanding dengan harga tiket yang mereka keluarkan.
gambar hiasan |
3. Solat Subuh.
Seingat aku selama menaiki bas ekspress, tiada lagi pernah aku bersama dengan pemandu yang bukan beragama Islam. Semua pemandu yang bertanggungjawab menghantar kami ke destinasi ialah lelaki melayu Islam. Walau begitu, aku sedikit terkilan apabila ada segelintir pemandu yang kurang cakna tentang isu kefardhuan solat subuh yang cuma 2 rakaat sahaja bilangannya. Tidak perlu untuk aku menyenaraikan sebarang dalil tentang kefardhuan solat kerana solat sudah terkandung di dalam rukun Islam yang kedua ataupun mengkhabarkan betapa dahsyatnya azab meninggalkan solat kerana umum semua umat Islam sudah mengetahui. Hal ini berlaku kerana rata-rata pemandu ingin sampai awal ke destinasi untuk memperoleh waktu rehat yang panjang. Jika sempat sampai ketika masih waktu berbaki, itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah apabila sampai di luar waktu. Tidak salah rasanya untuk berhenti seketika untuk mengabdikan diri kepada yang Maha Agung. Sekurang-kurangnya tidaklah bimbang dengan dosa yang bakal ditanggung oleh majoriti penumpang bas yang beragama Islam. Aku mendoakan agar semua muslimin dan muslimat agar dikurniakan Allah taufiq dan hidayah agar tidak sama sekali mengabaikan perintah Allah untuk menunaikan solat fardhu.Surat untuk pemandu bas.
Aku rasa cukuplah dahulu 3 keluhan aku sebagai penumpang. Walaubagaiamanapun, aku ucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua pemandu bas ekspress kerana menjadi seorang pemandu yang berhemah di jalan raya. Pengorbanan kalian mencari rezeki sehingga terpaksa meninggalkan keluarga jauh di sisi tetap kami sanjungi. Sekiranya tiada pemandu berkaliber seperti kalian tidak mungkin jutaan manusia dapat bersemuka dengan keluarga di pelbagai destinasi. Jasa kalian menghubungkan kami dari utara ke selatan atau timur ke barat sangat kami hargai.
Sekian terima kasih..
jangan lupa solat yaa |
No comments:
Post a Comment
Setiap tulisan dan artikel adalah pandangan penulis semata-mata. Tidak semestinya padangan penulis betul atau tidak semestinya salah. Kita semua berhak memberikan pandangan masing-masing. Jika berbeza pandangan boleh nyatakan di ruangan komen yang disediakan. Terima Kasih