Friday 29 November 2019

Orang Muda Tidak Patut Bosan

Waktu cuti semester pastinya menghadiahkan kegembiraan bagi pelajar yang pastinya telah penat fokus semaksimumnya ketika proses pengajaran kuliah. Tempoh cuti akan digunakan sebaiknya untuk membayar semula waktu tidur yang telah dicuri ketika minggu ujian akhir lalu. Walaubagaimanapun, cuti yang panjang membuatkan bakal graduan merasa bosan. Ditambah lagi dengan tiada perancangan aktiviti yang sebaiknya. Di sini dikongsikan beberapa aktiviti yang boleh dilaksanakan ketika cuti yang panjang.

tempat menarik di dunia
antara tempat menarik global 

1. MELANCONG
Salah satu cara untuk menghilangkan sifat bosan adalah dengan pergi melancong. Melancong adalah satu perkara yang menyeronokkan kerana dapat mengetahui budaya masyarakat setempat, dapat melihat tempat yang menarik, melapangkan fikiran dan dapat juga merasai selera masakan yang berbeza yang semestinya menyelerakan. Jika dengar perkataan melancong pasti terfikir memerlukan kos yang tinggi. Siapa kata melancong mesti perlukan perbelanjaan yang banyak? Pasti ramai antara kita pernah mendengar percutian bajet ataupun backpackers. Jika pernah mengetahuinya, maka tiada lagi masalah kewangan bagi golongan pelajar untuk melancong ke luar negara. Berbekalkan modal tidak sampai RM1000 pun sudah mencukupi. Saya juga pernah melancong ke Jogjakarta waktu zaman belajar dulu. Semuanya tidak mustahil. Tetapi sebelum itu pastikan kamu mengetahui terlebih dahulu tips berbelanja minimum dari segi tempat, pengangkutan, makanan dan tempat menarik di laman web yang dikongsi oleh bloggers.

2. AKTIVITI SUKARELAWAN

kerja sukarelawan
sukarelawan berguna
Bermula tahun 1985 lagi, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tanggal 5 Disember setiap tahun adalah Hari Sukarelawan Antarabangsa. Ini adalah bertujuan untuk menghargai jasa dan sumbangan sukarelawan serta meningkatkan lagi kesedaran orang awam tentang semangat tersebut. Ini menandakan aktiviti ini telah diterima oleh masyarakat global sejak sekian lama. Budaya kesukarelawanan di Malaysia juga menunjukkan peningkatan setiap tahun apabila banyak organisasi berobjektif sedemikian tumbuh sama ada dalam kalangan individu atau sekumpulan individu. Organisasi ini dikenali dengan pelbagai nama seperti pertubuhan sukarela, badan amal, badan kebajikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor ketiga dan sebagainya.

Skop sukarelawan juga teramat luas meliputi pelbagai bidang bukan terhad pada misi kemanusiaan sahaja tetapi meliputi aspek akademik, pendidikan moral, kaunseling, keagamaan, kebudayaan, sukan dan sebagainya. Mahasiswa boleh memilih untuk mengikuti aktiviti yang diminati.

Walaupun dinamakan aktiviti kesukarelawanan kebanyakan organisasi berdaftar turut menyediakan elaun pada setiap sukarelawan sebagai tanda penghargaan tetapi faedah yang diperoleh adalah lebih dari itu. Antara sebab-sebab mahasiswa patut menjadi ahli sukarelawan ialah kerana banyak perkara yang kamu akan dapat belajar yang tidak diajar di dalam bilik kuliah seperti kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai lapisan umur dan pangkat, dapat menyelusuri secara sebenar pengalaman hidup orang lain, kemahiran bekerja secara sepasukan, merasai indahnya nikmat memberi dan sebagainya.

Tempoh cuti semester yang singkat tidak menjadi masalah untuk melakukan aktiviti sedemikian kerana jiwa insan yang ingin berbakti pada bangsa, agama dan negara tidak akan berfikir lama untuk membuat perkara yang baik.


3. TUGASAN BERKUMPULAN

work as a team
mari menuju kejayaan
Kita sebagai golongan muda pastinya mempunyai idea yang kreatif bagi menyelesaikan pelbagai masalah. Ini nyata terserlah dalam program APEx (Asasi Physics Exhibition) atau juga dikenali sebagai inovasi produk yang dianjurkan oleh unit fizik. Ketika pameran tersebut banyak idea kreatif yang telah dihasilkan oleh pelajar. Ini menunjukkan kamu tidak ketandusan idea kreatif dan cuma bermodalkan kurang RM100 boleh menghasilkan satu prototaip yang berguna. Pastinya idea ini datang daripada hasil perbincangan secara berkumpulan. Bak kata pepatah, dua kepala lebih baik daripada satu dan pastinya lagi ramai ahli perbincangan akan lagi baik hasil yang akan kita peroleh.

Jika kurang mahir dalam bidang pertukangan, kamu boleh juga bentuk satu kumpulan analisis. Sebagai contoh, berbekalkan waktu cuti yang panjang serta kemudahan internet, kamu boleh berbincang dengan pensyarah untuk mengkaji sesuatu isu sama ada di Malaysia ataupun di luar negara. Dan hasilnya nanti kamu boleh terbitkan di liputan media sama ada majalah, surat khabar ataupun laman web kamu sendiri. Pelbagai aspek boleh diulas seperti politik, ekonomi, dunia, sosial, pendidikan, belia, keluarga, kesihatan dan sebagainya. Kajian ini mungkin berguna apabila kamu menjejakkan kaki ketika di peringkat sarjana muda kelak. Ingatlah bahawa bangsa itu akan bertamadun apabila ia berilmu pengetahuan.

4. BERNIAGA

Bagi pelajar yang pernah mengambil kursus keusahawanan atau perniagaan, kamu telah didedahkan dengan ilmu kekayaan ini selama hampir kurang empat bulan. Sepanjang tempoh ini banyak teori telah disyarahkan oleh pensyarah dan dibincangkan bersama di dalam kelas. Aktiviti praktikal juga telah dilakukan. Kamu sendiri juga mungkin mempunyai pengalaman berniaga paling kurang satu hari iaitu ketika “Syoknya Agro Bazar”. Tidakkah kamu teringin semula merasa seronok mempunyai wang yang banyak? Berniagalah jawapannya. Waktu cuti semester panjang ini lah waktu yang sesuai untuk kamu serlahkan bakat sebagai usahawan muda. Katakan tidak kepada bosan. Kumpulkan rakan-rakan sekolah yang lama dan rancanglah satu perniagaan dan laksanakan. InsyaAllah kamu akan berjaya.

bazar tahunan
syoknya bazar

Hargai usia muda kerana usia dan masa tidak berputar seperti roda. Ia akan terus berlalu sama ada kita mahu manfaatkannya atau membiarkannya begitu sahaja. Semalam adalah pengalaman, hari ini adalah kenyataan dan esok adalah impian.