Wednesday, 2 October 2013

Mereka Bertanya Tentang Allah dan Kehidupan..

pandangan senja
kehidupan senja

Mengapa banyak ketentuan yang berlaku dalam kehidupan seseorang tidak dapat dijangka?

Ini kerana, dia menginginkan kehidupan sebagaimana yang dia kehendaki, bukan sebagaimana yang Allah s.w.t. kehendaki. 
Mereka merancang, Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

Mengapa manusia letih dalam kehidupan?

Manusia letih dalam kehidupan kerana terlalu banyak daya dan upayanya digunakan untuk memberontak dan mempertikaikan pilihan dan ketentuan Allah s.w.t. dalam kehidupannya. Andai dia banyak redha terhadap ketentuan Allah s.w.t., pasti hatinya tenang dalam meniti hari-hari kehidupan.

Mengapa kehidupan ini ada suka dan duka, susah dan senang dan sebagainya yang saling bertentangan?

Kehidupan ini ada suka dan duka, susah dan senang, dan sebagainya, agar manusia menghargai nilai ketentuan melalui lawannya sepertimana seseorang menghargai nilai kesenangan setelah mengetahui makna kesusahan. Bahkan, agar manusia mengerti hidup ini bukan tentang pilihan dan kehendak mereka tetapi tentang pilihan dan kehendak Allah s.w.t..

Mengapa manusia gagal memahami kesempurnaan Allah s.w.t. melalui ketentuan dan perbuatan-Nya dalam kehidupan mereka?

Ini kerana, mereka ingin memahami Allah s.w.t. dengan cara mereka, bukan dengan cara yang diingini oleh Allah s.w.t.. Mereka membataskan kesempurnaan Allah s.w.t. melalui kekurangan nafsu mereka, lalu akhirnya tidak memahami hakikat kesempurnaan-Nya.

hidup dan mati
hidup sebelum mati
Seumpama seseorang yang berdoa kepada Allah s.w.t, lalu jika Allah s.w.t. memberi apa yang diminta, maka itu adalah tanda kecintaan Allah s.w.t. kepadanya. Namun, jika Allah s.w.t. tidak memberi apa yang diminta, maka itu tandanya Allah s.w.t. mengabaikannya. Ukuran itu lahir daripada interaksi seseorang kepada Allah s.w.t. dengan nafsunya. 

Jika dia berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehambaan, maka jika dia sabar dengan apa yang tidak diberi oleh Allah s.w.t. setelah diminta, maka pasti Allah s.w.t. akan fahamkan tujuan sebenar Allah s.w.t. tidak memberi apa yang diminta yang dikenali sebagai hikmah. Setelah dia faham, pastilah makin terzahir kesempurnaan Allah s.w.t. sesuai dengan cara Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada kita.



Mengapa orang gagal menemui Allah s.w.t. dalam kehidupannya?

Orang gagal menemui Allah s.w.t. dalam kehidupannya kerana dia mencari selain Allah s.w.t. melalui Allah s.w.t. lalu dia menyangka dia sedang mencari Allah s.w.t..

Contohnya: Apabila seseorang mempunyai masalah. Lalu, dia mencari Allah s.w.t. dan meminta agar Allah s.w.t. menyelesaikan masalahnya. Namun, jika Allah s.w.t. tidak menyelesaikan masalahnya mengikut caranya, maka dia tidak berpuas hati dengan Allah s.w.t.. Lalu dia menyangka Allah s.w.t. tidak menghiraukannya setelah mana dia kononnya telah mencari Allah s.w.t..

Dia tidak mencari Allah s.w.t. tetapi mencari penyelesaian terhadap masalahnya. Jika dia benar mencari Allah s.w.t, apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh Allah s.w.t, dia akan terima dengan kerelaan hati kerana Dia telah melihat pilihan Allah s.w.t. dalam ketentuanNya kerana menyelesaikan masalah ataupun tidak, itu tanda Allah s.w.t. telah berinteraksi dengannya tetapi dengan cara Allah s.w.t., bukan dengan caranya.

Bagaimana difahami Allah s.w.t. Maha Nyata dalam masa yang sama Maha Batin (tersembunyi) dalam kehidupan?

Ramai orang tahu mereka tidak melakukan kehidupan mereka dengan kehendak dan perbuatan mereka secara tersendiri tetapi ia adalah daripada pengaruh kehendak dan perbuatan Allah s.w.t.. Namun masih ramai yang menisbahkan kehendak dan perbuatan kepada diri sendiri tanpa menyandarkannya kepada Allah s.w.t..

Ingatlah ungkapan Namrud kepada Nabi Ibrahim a.s. ketika Nabi Ibrahim a.s. berkata: “Tuhanku ialah Tuhan yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan ". Raja Namrud berkata: “Aku juga menghidupkan dan mematikan ” dengan memanggil dua orang lalu salah satunya dibiarkan hidup dan salah satunya dibunuh padahal nyawa orang yang dibiarkan hidup itu bukan daripada Namrud untuk layak berkata dia yang menghidupkan apatah lagi mematikan.

Namun, manusia yang berkehendak dengan izin dan kehendak Allah s.w.t., melakukan segala-galanya dengan bantuan upaya daripada Allah s.w.t. dan sebagainya, namun masih menisbahkan semuanya kepada dirinya tanpa kepada Tuhannya. Itulah sifat Namrud yang dinilai oleh Allah s.w.t. sebagai dari karangan orang-orang yang zalim.

jagalah Allah, Allah akan jaga kamu
sembahyanglah sebelum disembahyangkan
Lihatlah orang yang berkata: “Aku makan dengan tanganku lalu akulah yang mengenyangkan diriku.” Sedangkan, tangan yang saban hari menyuap makanan ke dalam mulutnya itu, jika Allah s.w.t. jadikan ia lumpuh, sudah pasti tiada upaya daripada dirinya sendiri dapat mengembalikan upaya tangan tersebut. Sedangkan, jika ditarik sistem pengkhadaman dan pencernaan dalam dirinya, maka tidak ada makanan lagi dapat mengenyangkannya bahkan makanan itu sendiri memudaratkannya pula.

Sejelas itu sekali Maha Zahirnya Allah s.w.t., namun Allah s.w.t. membiarkan sebahagian manusia terus dalam kelalaian di mana Maha Batinlah juga Allah s.w.t. sehingga ramai yang masih menisbahkan semuanya kepada diri mereka lalu melupakan Allah s.w.t..

Bagaimana dapat menyaksikan kesempurnaan Allah s.w.t. melalui perbuatan-perbuatanNya?

Terima Allah s.w.t. seadaNya, sebagaimana kamu harap Dia menerimamu seadanya. Kerana, seada-Nya Allah s.w.t. adalah Kesempurnaan kerana Dia adalah Maha Sempurna. Manusia terhijab daripada kesempurnaan Allah s.w.t. kerana tidak mahu mencari kesempurnaan-Nya, tetapi lebih ingin mencari kepuasan nafsu sendiri hatta dalam hubungan kepada-Nya.


Wallahu a'lam...

sumber Ust Raja Mukhlis

No comments:

Post a Comment

Setiap tulisan dan artikel adalah pandangan penulis semata-mata. Tidak semestinya padangan penulis betul atau tidak semestinya salah. Kita semua berhak memberikan pandangan masing-masing. Jika berbeza pandangan boleh nyatakan di ruangan komen yang disediakan. Terima Kasih