Sunday 20 April 2014

Kepincangan Makna Ilmu dalam Kalangan Mahasiswa


topi konvo
ketinggian ilmu

"Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya hendaklah dia lebih berilmu.”

Jika dirujuk pada petikan di atas dan hadis nabi, maka akan terserlah banyaknya kelebihan dan ganjaran yang Allah sediakan bagi orang yang menuntut ilmu. Banyak hadis nabi yang membongkarkan fadhilat penuntut ilmu. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu dan betapa pentingnya untuk menuntut ilmu. Antara fadhilatnya, Allah memudahkan jalan bagi penuntut ilmu untuk ke syurga, penuntut ilmu akan dipayungi oleh para malaikat, diangkat darjatnya lebih tinggi berbanding ahli ibadah yang jahil, penuntut ilmu dianggap sebagai pejuang Allah, semua penghuni langit dan bumi akan memohon keampunan buat orang yang sedang menuntut ilmu dan pelbagai lagi ganjaran yang Allah kurniakan. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitik beratkan soal ilmu dalam setiap diri manusia.

Nabi pernah bersabda,

“ Sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah fardhu bagi setiap muslim.”
                
Ilmu yang bermanfaat ialah segala ilmu yang mendorong dan membimbing manusia untuk melakukan kebaikan serta mencegah daripada melakukan kejahatan. Ilmu yang tidak bermanfaat pula adalah ilmu yang tidak dapat membentuk penuntutnya menjadi seorang manusia yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama serta negara. Ilmu dunia yang terlalu luas ini memungkinkan manusia tersesat. Oleh kerana itu perlu diimbangi dengan ilmu agama untuk memilih mana yang benar, mana yang batil dan untuk mengetahui mana yang halal dan mana yang haram demi menyelamatkan diri dari lembah kebinasaan.


Jihad Ilmu


Apabila disebut jihad, maka ramai yang akan membayangkan mata pedang, peperangan, senjata dan pertumpahan darah. Ini sedikit sebanyak telah menyempitkan aspek jihad. Jihad merupakan satu syariat Islam, sedangkan syariat Islam itu adalah releven pada setiap masa. Tidak mungkin syariat Islam akan ketinggalan zaman. Maksud jihad dari sudut bahasa adalah bererti mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita sama ada yang mulia dan ideal ataupun tidak. Manakala jihad ilmu pula bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk berkorban segala usaha dan tenaga demi meningkatkan ilmu pengetahuan yang dimiliki dan sentiasa berazam menjadikan menuntut ilmu sebagai amalan dalam kehidupan. 

Hilmy Bakar Al-Mascaty telah membahagikan jihad kepada 5 kategori iaitu Jihad Harta, Jihad Jiwa, Jihad Pendidikan, Jihad Politik dan Jihad Ilmu Pengetahuan. Jika dilihat pada zaman kemajuan sains dan teknologi sekarang ini, jihad ilmu pengetahuan hampir menyamai dengan kepentingan jihad di medan peperangan pada zaman lampau. Peperangan zaman moden tidak hanya menuntut penggunaan senjata sahaja tapi juga lebih mengutamakan pada ilmu pengetahuan dan teknologi sebagai senjata baru. Lihat saja pada zaman ini, negara yang menguasai teknologi seperti AS, Rusia, China dan beberapa lagi negara besar mampu menguasai dunia seterusnya juga menguasai negara-negara yang lemah. Oleh itu, seharusnya kita semua sedar bahawa jihad mempunyai makna yang luas dan meliputi segenap aspek kehidupan manusia.

kalam Imam Syafie
kalam murabbi
Merujuk kepada konteks jihad melalui ilmu ia mengajar pemiliknya kepada pengakuan tentang kedudukan yang tepat bagi Allah selaku pemilik dan pentadbir alam. Manakala kedudukan manusia ialah selaku hamba dan khalifahNya di muka bumi. Walaubagaimanapun, sistem pendidikan sekular dari barat yang telah berjaya membenih masuk sekian lama dalam sistem pendidikan di Malaysia telah menghasilkan bunganya. Perhatikanlah hasilnya, daripada pendidikan sekular telah lahir ramai graduan Islam yang dapat melonjakkan produktiviti kepada masyarakat dan negara tetapi hilang adabnya kepada pencipta dan makhluk-makhluk lain. Sebagai contoh, ramainya golongan-golongan jurutera, arkitek pembinaan masih mengamalkan rasuah bagi mendapat kelulusan projek. Sebelum atau selepas sahaja mendapat projek yang bernilai jutaan ringgit, pasti sahaja golongan ini akan berhibur di kelab malam sambil meminum air kencing syaitan. Situasi lain juga menggambarkan adanya perasaan bakhil di dalam diri. Nilai RM1 atau RM5 dirasakan sangat besar untuk diberikan kepada golongan miskin sedangkan gaji bulanan telah pun mencecah lima angka !! Inilah akibat apabila hanya pendidikan duniawi diutamakan, pendidikan ukhrawi diabaikan. 

Kepentingan jihad ilmu berlandaskan syariat Islam akan menjadikan penuntutnya seorang yang berguna kepada masyarakat sekeliling.  Konsep ilmu yang benar bukan sekadar diisi ke dalam akal fikiran tetapi juga dalam hati nurani manusia sehingga ilmu tersebut dapat dizahirkan dengan amalan praktikal melalui tingkah laku yang beradab dan berakhlak. Kalau dilihat pada zaman sekarang, pada setiap tahun akan lahirnya berpuluh-puluh ribu mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai instititusi pendidikan awam mahupun swasta di seluruh negara. Jika dilihat pula pada statistik jenayah negara, bilangan jenayah telah mengatasi bilangan mahasiswa yang bergraduasi. Amat sedih dengan ketidakseimbangan julat tersebut jika dibandingkan dengan jumlah penuntut ilmu. Ternyata ilmu yang dipelajari di peringkat kolej ataupun universiti masih belum cukup untuk mengelakkan atau mencegah berlakunya perkara mungkar. Atau mungkin juga kerana ilmu yang dimiliki oleh mahasiswa cetakan institusi pendidikan gagal membantu mereka untuk menyedarkan masyarakat dalam mengenal erti jenayah seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah negara.

Saidina Ali ra pernah menukilkan katanya yang bermaksud,

Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga kamu, manakala dengan harta, kamu pula yang menjaganya. Ilmu itu penghukum (hakim) manakala harta pula akan terhukum. Harta itu akan berkurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu akan bertambah apabila dibelanjakan.

Kesimpulan dari jihad ilmu pengetahuan yang perlu diketahui bagi setiap mahasiswa ialah telah menjadi satu kewajipan baginya untuk menuntut ilmu dalam bidang yang dipelajari sessungguh-sungguhnya walau dalam apa jua bidang sekalipun sama ada bidang sains, teknologi, perundangan, perubatan, pemakanan, sastera, sejarah, ekonomi, politik, agama dan bidang lain-lain kerana dia secara tidak langsung dia telah menjadi wakil umat Islam untuk menguasai bidang tersebut. Menjadi satu kesalahan bagi dirinya seandai dia gagal untuk menghadiri kuliah atau menyiapkan tugasan disebabkan oleh disibukkan demgan sesuatu perkara yang bukan dalam bidang sepatutnya dia pelajari.

Permasalahan besar yang masih berlaku di kalangan mahasiswa adalah kurangnya budaya membaca buku. Budaya program nilam yang disemai sejak dari sekolah rendah gagal menjadikan mereka memiliki perasaan cintakan buku. Jenis buku yang dimaksudkan adalah jenis bacaan yang berat seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan pelbagai lagi mengikut jurusan yang diambil. Sepatutnya bukan bahan bacaan ringan seperti novel cinta, komik atau majalah hiburan menjadi bahan bacaan utama. Cuba bandingkan tempoh bacaan novel cinta dengan buku rujukan subjek yang mempunyai ketebalan sekitar 200 hingga 300 muka surat. Sudah pastinya novel cinta mampu dihabiskan dahulu dalam masa kurang dari tiga hari walaupun mempunyai jumlah muka surat melebihi 600 berbanding dengan buku rujukan subjek yang mengambil masa belum tentu satu semester sudah habis diulangkaji. Ini kerana buku rujukan subjek lebih berat bacaannya bagi otak tapi ia tetap menjadi kewajipan bagi mahasiswa untuk membeleknya.

Majlis Pengijazahan.

Sifat ilmu itu seharusnya melahirkan seorang manusia yang mengikut resmi padi, apabila berisi semakin tunduk. Begitulah realitinya dengan mahasiswa sekarang apabila melangkah sahaja keluar dari menara gading selepas pengijazahan, membawa segulung sijil dengan megah tetapi langsung tidak mengetahui apakah falsafah yang terkandung dalam majlis pengijazahan atau turut dikenali sebagai konvokesyen.

Majlis pengijazahan adalah bermakna seorang mahasiswa itu telah berjaya menamatkan pengajiannya. Ia juga adalah simbol seorang guru mengiktiraf ilmu yang diajar kepada anak muridnya. Majlis pengijazahan sebenarnya adalah merupakan satu petanda yang amat penting bagi setiap orang yang menerima dan memberi ijazah tersebut. Bagi penerima ijazah atau anak murid, mereka sebenarnya telah dibebani satu tanggungjawab baru iaitu untuk menyampaikan ilmu yang selama ini telah berpuluh-puluh tahun dituntut semenjak dari zaman kecil tadika sehinggalah saat pengijazahan terakhir doktor falsafah. Mereka seharusnya menyumbangkan segala ilmu dengan berbakti semula kepada masyarakat dan menunjukkan sebagai seorang ahli ilmu dengan contoh akhlak yang soleh bertepatan dengan nilai ilmu itu sendiri.

Bagi penganugerah ijazah atau juga dikenali seorang guru pula haruslah berterusan mendidik anak muridnya dengan sebaik-baiknya kerana guru bertanggungjawab terhadap apa yang diajar oleh mereka dan apa yang akan diajar oleh anak murid kepada masyarakat. Berat sebenarnya tanggungjawab seorang guru. Malangnya konvokesyen sekarang sudah tidak difahami oleh setiap graduan. Mereka menganggap ia hanya sebagai satu majlis untuk bergembira sambil meraikan kejayaan mereka sebagai seorang mahasiswa yang sudah menamatkan sukatan pelajaran dan akan berakhir di situ sahaja. Padahal dunia ilmu itu adalah luas dan langsung tidak akan penah habis sehinggalah kamu menghirup nafas terakhir dan yang paling penting adalah tanggungjawab selepas tamat pengijazahan untuk membayar semula jasa kepada masyarakat di samping tidak lupa pada pinjaman tabung pendidikan.

pokok ilmu
ilmu tanpa amal

Wednesday 9 April 2014

15 Perkara Yang Mengundang Bala


Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata,  Rasulullah s.a.w bersabda : “ Apabila umatku melakukan 15 perkara maka bala bencana akan menimpa mereka.” Maka sahabat bertanya. “Apakah itu wahai Rasulullah?”.


1.Harta rampasan perang hanya dikuasai golongan berkuasa.

Pembahagian harta rampasan perang adalah dibahagikan berdasarkan kiraan 1/5 untuk maslahat umum, kaum kerabat nabi, anak yatim, orang miskin dan ibnus sabil (orang musafir). Manakala 4/5 lagi dibahagikan kepada para pejuang yang berjihad. Keadaan semasa menunjukkan sebaliknya dengan maksud hadis. Golongan atasan memonopoli semua harta yang diperolehi.
Perkara ini boleh dikiaskan dengan harta sebuah negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk manfaat rakyat tetapi hanya dinikmati oleh golongan tertentu sahaja.


2. Amanah dijadikan sumber keuntungan.

Harta yang diamanahkan kepada seseorang dijadikan modal atau sumber keuntungan tanpa pengetahuan serta keizinan tuan empunya harta tersebut. Dia mahu mengaut keuntungan secara seorang diri tanpa mengeluarkan modal dan berkongsi dengan pemilik harta. Contohnya ialah apabila seorang sahabat mengamanahkan untuk menjaga keretanya selama seminggu kerana ada urusan di luar negara. Lantas amanah yang diberi itu digunakan untuk memperoleh keuntungan dengan cara membuat perkhidmatan sewa kereta. Bagaiamanapun ia berbeza dengan simpanan wang di bank-bank kerana pemilik harta telah maklum dengan kontrak perjanjian yang disepakati.


3. Zakat dianggap hutang.

Golongan yang mengeluarkan zakat dalam keadaan terpaksa, tidak ikhlas dan menganggapnya sebagai suatu beban hutang. Golongan ini tidak memperoleh pahala disisi Allah kerana tiada sifat keikhlasan dari dalam hati. Pembayaran zakat dilewat-lewatkan kerana sayangnya terhadap duit atau juga melihat duit zakat boleh digunakan sebagai modal perniagaan untuk mendapat keuntungan yang lebih besar pada masa hadapan.

  
4. Suami taat pada isteri.

Kredibiliti seorang lelaki bergelar suami telah hilang apabila gagal bertindak sebagai pemimpin rumah tangga. Sebaliknya isteri pula yang mengambil alih peranan tersebut secara sedar atau tidak sedar. Keadaan ini boleh berlaku kerana status kedudukan atau pendapatan isteri melebihi suami dan mungkin juga kerana oleh kecantikan isteri. Oleh kerana terlampau cinta dan takut kehilangan isteri, seorang suami merelakan kepalanya dipijak dan taat segala arahan isteri.


anak derhaka moden
tanggang moden
5. Anak menderhakai ibunya.

Perkara ini berlaku antara sebabnya adalah kerana terpersona dengan ujian dunia. Godaan rakan sebaya, desakan teman berlainan jantina serta nafsu keinginan pada harta boleh mengakibatkan seorang anak menderhaka kepada ibubapanya. Segala nasihat ibu terasa sebagai kokongan. Apabila ibubapa melangkau ke usia tua, tanggungjawab menjaga mereka diserahkan kepada penjaga rumah orang tua. Wujudlah golongan yang digelar tanggang moden.



6. Seseorang yang berlaku baik kepada kawannya.

Menjadi satu dosa apabila seorang anak berasa kurang selesa atau menyampah ketika bercakap dengan orang tuanya. Namun berasa sungguh gembira apabila bersama kawan-kawannya. Hubungan dengan ibubapa semakin renggang. Dia lebih mesra bercakap dan mendengar kata kawannya berbanding ibu bapa sendiri. Kawan-kawan diutamakan, ibu bapa dipinggirkan.


7. Suara meninggi di dalam masjid.

Maksudnya ialah mereka yang tidak memelihara adab-adab di dalam masjid. Kehormatan masjid sebagai rumah Allah dan tempat ibadat tercemar dengan suara gelak tawa, suara perkelahian, umpatan dan fitnah, berjual beli, hiburan, mencari pengaruh dan sebagainya.


8. Pemimpin suatu kaum ialah orang yang paling keji di kalangan mereka.

Ciri seorang pemimpin sepatutnya orang yang paling terbaik dan adil di dalam satu kumpulan manusia. Dia disanjung dah dihormati kerana kewibawaanya. Namun pada akhir zaman ramai pemimpin yang berakhlak buruk dan keji terpilih menjadi pemimpin masyarakat. Ini kerana mereka hanyalah mengejar kekayaan dunia walaupun mengetahui masih terdapat ramai lagi calon pemimpin yang selayaknya.


9. Seseorang dihormati kerana ditakuti kejahatannya.

Pemimpin sekarang dimuliakan dan dihormati bukan lagi kerana mereka disanjung oleh rakyat tetapi kerana takut dizaimi dan dianiaya. Tiada lagi perasaan kasih sayang antara pemimpin dan rakyat jelata. Sesiapa yang menentangnya pasti akan dihukum. Orang sebegini adalah orang yang paling malang hidupnya di akhirat kelak.


10. Arak diminum berleluasa.

minuman syaitan
arak
Meminum arak atau juga dikenali sebagai air kencing syaitan merupakan satu dosa besar. Jelas menunjukkan perilaku peminum arak dapat merosakkan saraf otak dan mampu membuat perkara-perkara yang tidak dingini kerana sudah berada dalam keadaan tidak sedar. Perbuatan yang menyebabkan kemudaratan seperti boleh menghilangkan kewarasan adalah haram kerana ia bertentangan dengan maqasid syariah yang menjaga lima perkara antara salah satunya adalah akal.


11. Sutera dipakai oleh kaum lelaki

Jelas haram hukumnya sutera dipakai oleh kaum lelaki tanpa sebab darurat, penyakit atau masalah kulit. Ia haram bagi lelaki dan dibenarkan untuk kaum wanita. Sutera dipakai sebagai satu lambang kekayaan dan kemegahan kerana harganya yang mahal. Mungkin kerana kurang pengetahuan agama menyebabkan si pemakai tidak mengetahui keharamannya. Namun begitu, kain sutera sintetik/tiruan tidak termasuk dalam larangan ini kerana yang diharamkan ialah sutera semulajadi.


12. Penyanyi wanita disanjung.

Asal sesuatu perkara adalah harus sehinggalah ada dalil yang mengharamkannya. Hiburan adalah harus hukumnya dan memang Islam membenarkan hiburan dengan keadaan berlandaskan syarak. Pada dunia akhir zaman, telah semakin banyak membiak konsert-konsert liar dan melampau. Lebih-lebih lagi apabila artis-artis wanita diangkat sehinggakan sejarah kisah hidupnya juga ingin dibukukan. Lihatlah sahaja dengan fesyen pakaian mereka yang pasti akan menggiurkan setiap lelaki yang memandang. Ragam anak muda yang menjadikan mereka sebagai idola hanyalah akan menjauhkan diri dari mengingat kepada Yang Maha Pencipta.


13. Alat-alat muzik banyak dimainkan.

Maksud alat-alat muzik banyak dimainkan ialah menunjukkan semakin banyaknya konsert-konsert dan hiburan yang melampau dalam kalangan umat Islam. Budaya hiburan melampau  juga dikenali sebagai hendonisma. Mereka melebihkan hiburan dan keseronokan sehingga malas dan lalai dari mengingati Allah serta menjalankan tanggungjawab sebagai muslim. Faktor penyakit hati mati juga berpunca dari banyaknya dengan hiburan yang semestinya lalai dari mengingati Allah.

AF hiburan melampau
hiburan melampau


14. Umat yang akhir melaknat umat yang awal.

Ini merujuk kepada generasi akhir umat islam yang melaknat dan menyalahkan generasi awal umat islam terutama para sahabat r.a dan para salafussoleh. Perbuatan ini lebih banyak berlaku dalam fahaman syiah yang mengungkit dan membangkitkan peristiwa lalu yang berlaku dalam kalangan para sahabat nabi. Dengan pelbagai alasan yang direka, mereka tanpa segan silu melaknat dan mencaci para sahabat r.a.


15. Ilmu dipelajari bukan kerana agama.

Kini, terdapat sebahagian orang yang belajar ilmu agama bukan kerana Allah tetapi kerana ingin berbangga-bangga, memperolehi kedudukan dan harta atau mencari populariti. Bahkan semakin banyak institusi pendidikan yang menawarkannya. Ilmu selain agama seperti ilmu teknologi, ekonomi, perundangan, kejuruteraan dan sebagainya mampu memberi kepada si penuntut ilmu kekayaan dan kemewahan. Maka ia dipelajari demi mendapatkan kekayaan semata-mata, bukan kerana agama. Inilah antara salah satu kumpulan yang rugi kerana tidak dapat memanfaatkan ilmu tersebut kepada maslahah umat islam.


16. Orang yang palin fasik menguasai sesuatu kabilah.


majalah Q&A isu 28
Q & A 28
Orang fasik ialah orang yang banyak melakukan dosa kecil atau dosa besar. Disebabkan oleh kepetahan dan kepintarannya untuk menguasai telinga para pendengar. Akhirnya pemimpin yang fasik tetap dipilih walaupun mengetahui sifar peribadi yang calon disebabkan oleh bakal pemimpin ini pandai mempengaruhi manusia. 

.........................................................................................................................

sambungan daripada hadis tadi,
“………maka pada waktu itu, hendaklah mereka tunggu kedatangan angina merah atau mereka akan ditelan oleh bumi dan diubah rupa wajah.”


Rujukan : Majalah Q&A isu 28.