Thursday 5 June 2014

Ibrah Lawatan ke Jogjakarta 2013

Alhamdulillah, kepulangan 4 pemuda dari negara seberang, Jogjakarta Indonesia telah banyak memberikan kesan ke dalam hati setiap peserta delegasi. Peserta yang terdiri daripada pimpinan tanzim mahasiswa berangkat ke negara seberang bertujuan mengumpul maklumat dan berkongsi maklumat bersama dengan gerakan mahasiswa Islam Indonesia khususnya di JogJakarta. Peserta yang terlibat ialah Ahmad Naqiuddin, Amirul Hakimi, Izham Alias dan Hafizuddin Mazlan.

Walaupun kunjungan yang singkat iaitu cuma 6 hari, dari tanggal 1-6 Julai 2013 sedikit sebanyak memberi manfaat kepada setiap peserta dan InsyaAllah akan dikongsikan maklumat dan pengalaman yang berguna kepada semua.

Ketibaan kami disambut oleh saudara Sujono Marta Syuhada. Beliau menemani kami semua sepanjang beradaan kami di Jogjakarta bersama dengan sahabat-sahabatnya yang lain. Kami banyak belajar dari seorang lelaki kental bernama Sujono.

Sujono merupakan seorang mahasiswa Universiti Negeri Yogyakarta yang mengambil jurusan teknologi pendidikan. Sekarang beliau menuntut di semester 8. Kehidupannya sungguh sederhana dan tidak terlampau mewah. Banyak sumbangan masa beliau sumbangkan pada jalan dakwah. Itulah Sujono, ayah kepada seorang puteri yang berusia 15 bulan.

Pengorbanan
Kesetiaan dan pengorbanan beliau terserlah melalui perbuatannya. Beliau melayani kami sebagai tetamu dengan sebaik-baiknya kerana beliau yakin dengan hadis nabi yang mengatakan tetamu itu adalah rezeki. Beliau telah menemani kami hampir sehari suntuk sepanjang enam hari di sana. Beliau menjemput kami di tempat menginap seawal pagi dan menghantar kami pulang semula ke tempat menginap lewat malam. Ditanya bagaimana dengan keadaan puterinya yang berusia 15 bulan dan isterinya yang sedang mengandung 5 bulan anak kedua, beliau menjawab tenang, “ Isteri saya luar biasa.” Jelas menunjukkan jiwa seorang isteri yang sudah faham dengan kegiatan dakwah suami yang sentiasa sibuk. Tidak bermakna saudara Sujono melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan seorang ayah.

Kegiatan Dakwah
Kami beralih arah kepada kegiatan dakwahnya pula. Sujono adalah seorang aktivis dari Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI). Beliau menceritakan kepada kami bahawa  beliau memang menyelam penuh dalam aktiviti dakwah. Beliau menjadi naqib kepada 4 buah halaqah dan setiap halaqah mempunyai bilangan antara 5-10 orang. Ini bermakna hari-harinya memang penuh dengan aktiviti dakwah. 

Berkorban masa dengan membina pemuda Islam untuk jadi sepertinya atau lebih hebat lagi. Jika dibandingkan dengan situasi daie di Malaysia, sudah pasti jauh sekali. Di sini, ada yang cukup bangga dengan hanya memimpin 1 halaqah, itupun belum tentu dapat melahirkan anak usrah yang sama hebat seperti dirinya.

Walaupun masa Sujono sibuk dengan aktiviti dakwah, langsung tidak menggugat pelajarannya. Beliau mengkagumkan kami dengan berkongsi kegembiraan bahawa beliau berjaya mendapat pelajar terbaik universiti dan langsung terus mendapat biasiswa. Kesibukannya dalam dakwah dan kecemerlangan dalam pelajaran harap dapat menjadikan semua terbuka mata untuk sentiasa ikhlas dalam segala tindakan.

Ingatlah kata-kata Allah, “Siapa yang menolong agamaNya, pasti Allah akan menolongnya."