Tuesday 5 November 2013

Surat Buat Semua Pemandu Bas Ekspress

bas ekspress
syarikat bas idaman

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam serta selawat dan salam ke atas junjungan baginda nabi Muhammad s.a.w penghulu segala nabi.

Aku merupakan seorang perantau kota. Menjadi seorang penuntut di sebuah IPTA. Jauh dari rumah kediaman. Bernafas di tahun 2013 sebagai penuntut tahun akhir pengajian sarjana muda InsyaAllah. Keputusan untuk menyambung peringkat sarjana masih belum kelihatan sehinggalah aku bakal bergraduasi nanti.

Ketika cuti pengajian menjelang, keinginan pulang membuak di hati. Menjadikan aku dan rakan-rakan sepengajian yang lain sebagai pelanggan tetap bas ekspress untuk pulang ke desa halaman. Sekian lama menjadi penuntut kota, menjadikan aku rimas dengan sedikit sebanyak masalah yang timbul sewaktu perjalanan pulang. Setelah 4 tahun memegang status penuntut universiti, pelbagai tiket bas ekspress telah aku miliki; Transnasional, Sani Ekspress, Adik Beradik, Mutiara, SP Bumi, SE Warisan, Etika, Mega Jaya dan pelbagai lagi. Walau pelbagai jenama tetapi masing-masing melahirkan masalah yang sama buat penumpang seperti aku.

Kini, tibalah untuk aku mencurahkan sedikit cadangan buat semua pemandu bas ekspress sekalian. Dengarlah luahan dari seorang penumpang rantauan.

1. Berlainan Jantina

lelaki dan perempuan
lelaki dan perempuan
Masalah agihan tempat duduk bagi aku masih belum diselesaikan dengan sebaiknya. Jika dahulu kesemua bas ekspress mempunyai 4 seat  bagi setiap barisan, kini sistem ini telah ditambah baik dengan mengurangkan kepada 3 seat  bagi setiap barisan. Semuanya bertujuan untuk menambahkan keselesaan bagi penumpang dengan seat  yang lebih lebar dan ruang yang lebih luas. Tapi keselesaan dari segi keselamatan masih belum terjamin. Kebiasaan berlaku kepada penumpang wanita yang mendapat tempat bersebelahan berlainan jantina tambahan lagi dengan lelaki yang  mereka tidak kenali apa karakternya. Boleh rujuk catatan saya yang lepas dalam link ini.

Link

Walaupun tidak pernah mendengar sebarang aduan, perkara ini patut juga dielakkan. Cadangannya, penjual tiket perlu menyusun seat  dengan mengagihkan mengikut jantina. Tandakan pada setiap no seat  di dalam sistem komputer dengan jantina sama ada L atau P. Sedikit sebanyak boleh mengelakkan berlaku masalah di atas. Aku rasa penumpang juga tidak mempunyai banyak masalah dengan kedudukan seat  asalkan bukan bersebelahan dengan berlainan jantina

2. Pilihan Tempat Rehat.

makan

Alhamdulillah sepanjang menikmati perjalanan jauh bersama bas ekspress, majoriti pemandu memilih restoran yang selesa yang memiliki kemudahan surau dan tandas yang bersih. Pernah sekali sewaktu musim cuti panjang, aku menaiki syarikat bas ekspress yang kurang menjadi pilihan ramai rata-rata terlewat membeli tiket. Pemandunya memilih untuk berhenti rehat di sebuah warung makan yang kurang bersedia untuk menerima pelanggan yang ramai. Tambahan lagi, waktu itu semua penumpang bas turun untuk bersahur kerana keesokannya adalah 1 Ramadhan. Kelam kabut melihat tukang masak menyediakan makanan kerana mendapat tempahan yang banyak. Tukang masaknya pula cuma seorang sahaja. Tambah lagi menyedihkan ramai yang terpaksa berlapar kerana tempahan tidak dapat dibuat dek kerana bahan masakan telah habis. Sedih melihat waktu tu, alhamdulillah mujur aku sempat bersahur dengan sebiji burger daging.

Mungkin ini juga menjadi penyebab ramai orang tidak memilih syarikat bas ekspress yang kurang terkenal. Semuanya kerana mereka tidak mahu menjadi mangsa keadaan kerana kebiasaan pemandu bas akan berhenti rehat di tempat yang tidak dikenali yang pastinya kurang selesa untuk penumpang. Buat pemandu sekalian, harap dapat memilih tempat rehat yang berkualiti untuk memastikan penumpang selesa setanding dengan harga tiket yang mereka keluarkan.

meja makan
gambar hiasan

3. Solat Subuh.

Seingat aku selama menaiki bas ekspress, tiada lagi pernah aku bersama dengan pemandu yang bukan beragama Islam. Semua pemandu yang bertanggungjawab menghantar kami ke destinasi ialah lelaki melayu Islam. Walau begitu, aku sedikit terkilan apabila ada segelintir pemandu yang kurang cakna tentang isu kefardhuan solat subuh yang cuma 2 rakaat sahaja bilangannya. Tidak perlu untuk aku menyenaraikan sebarang dalil tentang kefardhuan solat kerana solat sudah terkandung di dalam rukun Islam yang kedua ataupun mengkhabarkan betapa dahsyatnya azab meninggalkan solat kerana umum semua umat Islam sudah mengetahui. Hal ini berlaku kerana rata-rata pemandu ingin sampai awal ke destinasi untuk memperoleh waktu rehat yang panjang. Jika sempat sampai ketika masih waktu berbaki, itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah apabila sampai di luar waktu. Tidak salah rasanya untuk berhenti seketika untuk mengabdikan diri kepada yang Maha Agung. Sekurang-kurangnya tidaklah bimbang dengan dosa yang bakal ditanggung oleh majoriti penumpang bas yang beragama Islam. Aku mendoakan agar semua muslimin dan muslimat agar dikurniakan Allah taufiq dan hidayah agar tidak sama sekali mengabaikan perintah Allah untuk menunaikan solat fardhu.

Surat untuk pemandu bas.

Aku rasa cukuplah dahulu 3 keluhan aku sebagai penumpang. Walaubagaiamanapun, aku ucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua pemandu bas ekspress kerana menjadi seorang pemandu yang berhemah di jalan raya. Pengorbanan kalian mencari rezeki sehingga terpaksa meninggalkan keluarga jauh di sisi tetap kami sanjungi. Sekiranya tiada pemandu berkaliber seperti kalian tidak mungkin jutaan manusia dapat bersemuka dengan keluarga di pelbagai destinasi. Jasa kalian menghubungkan kami dari utara ke selatan atau timur ke barat sangat kami hargai.

Sekian terima kasih..

tak khusyuk
jangan lupa solat yaa