Thursday, 5 June 2014

Ibrah Lawatan ke Jogjakarta 2013

Alhamdulillah, kepulangan 4 pemuda dari negara seberang, Jogjakarta Indonesia telah banyak memberikan kesan ke dalam hati setiap peserta delegasi. Peserta yang terdiri daripada pimpinan tanzim mahasiswa berangkat ke negara seberang bertujuan mengumpul maklumat dan berkongsi maklumat bersama dengan gerakan mahasiswa Islam Indonesia khususnya di JogJakarta. Peserta yang terlibat ialah Ahmad Naqiuddin, Amirul Hakimi, Izham Alias dan Hafizuddin Mazlan.

Walaupun kunjungan yang singkat iaitu cuma 6 hari, dari tanggal 1-6 Julai 2013 sedikit sebanyak memberi manfaat kepada setiap peserta dan InsyaAllah akan dikongsikan maklumat dan pengalaman yang berguna kepada semua.

Ketibaan kami disambut oleh saudara Sujono Marta Syuhada. Beliau menemani kami semua sepanjang beradaan kami di Jogjakarta bersama dengan sahabat-sahabatnya yang lain. Kami banyak belajar dari seorang lelaki kental bernama Sujono.

Sujono merupakan seorang mahasiswa Universiti Negeri Yogyakarta yang mengambil jurusan teknologi pendidikan. Sekarang beliau menuntut di semester 8. Kehidupannya sungguh sederhana dan tidak terlampau mewah. Banyak sumbangan masa beliau sumbangkan pada jalan dakwah. Itulah Sujono, ayah kepada seorang puteri yang berusia 15 bulan.

Pengorbanan
Kesetiaan dan pengorbanan beliau terserlah melalui perbuatannya. Beliau melayani kami sebagai tetamu dengan sebaik-baiknya kerana beliau yakin dengan hadis nabi yang mengatakan tetamu itu adalah rezeki. Beliau telah menemani kami hampir sehari suntuk sepanjang enam hari di sana. Beliau menjemput kami di tempat menginap seawal pagi dan menghantar kami pulang semula ke tempat menginap lewat malam. Ditanya bagaimana dengan keadaan puterinya yang berusia 15 bulan dan isterinya yang sedang mengandung 5 bulan anak kedua, beliau menjawab tenang, “ Isteri saya luar biasa.” Jelas menunjukkan jiwa seorang isteri yang sudah faham dengan kegiatan dakwah suami yang sentiasa sibuk. Tidak bermakna saudara Sujono melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan seorang ayah.

Kegiatan Dakwah
Kami beralih arah kepada kegiatan dakwahnya pula. Sujono adalah seorang aktivis dari Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI). Beliau menceritakan kepada kami bahawa  beliau memang menyelam penuh dalam aktiviti dakwah. Beliau menjadi naqib kepada 4 buah halaqah dan setiap halaqah mempunyai bilangan antara 5-10 orang. Ini bermakna hari-harinya memang penuh dengan aktiviti dakwah. 

Berkorban masa dengan membina pemuda Islam untuk jadi sepertinya atau lebih hebat lagi. Jika dibandingkan dengan situasi daie di Malaysia, sudah pasti jauh sekali. Di sini, ada yang cukup bangga dengan hanya memimpin 1 halaqah, itupun belum tentu dapat melahirkan anak usrah yang sama hebat seperti dirinya.

Walaupun masa Sujono sibuk dengan aktiviti dakwah, langsung tidak menggugat pelajarannya. Beliau mengkagumkan kami dengan berkongsi kegembiraan bahawa beliau berjaya mendapat pelajar terbaik universiti dan langsung terus mendapat biasiswa. Kesibukannya dalam dakwah dan kecemerlangan dalam pelajaran harap dapat menjadikan semua terbuka mata untuk sentiasa ikhlas dalam segala tindakan.

Ingatlah kata-kata Allah, “Siapa yang menolong agamaNya, pasti Allah akan menolongnya."

Saturday, 31 May 2014

Kompilasi Tazkirah Januari 2012


Bersin


APABILA kita bersin, umpamanya kita mati satu saat. Bila kita bersin, semua sudah berhenti. Jantung dan nyawa semua sudah berhenti. Jadi, bila semua sudah berhenti dan hidup semula, kita patut bersyukur dan mengucapkan "Alhamdulillah". Sebab itu bila bersin, ucapkanlah "Alhamdulillah" kerana Allah masih meminjamkan nyawa kepada kita.
- Dr. Fatma El-Zahra

Kasihan Penuntut Ilmu


Kepada :-
  • PENCERAMAH-PENCERAMAH, mudahkanlah penyampaian anda agar hadirin mudah FAHAM
  • GURU-GURU, mudahkanlah apa yang anda ajar agar anak murid FAHAM
  • PENSYARAH-PENSYARAH, mudahkanlah pengajaran anda agar pelajar FAHAM
  • USTAZ-USTAZ, mudahkanlah tazkirah yang disampaikan agar pendengar FAHAM
  • PENULIS-PENULIS, mudahkanlah mesej yang ingin disampaikan agar pembaca FAHAM
  • PENDAKWAH, mudahkanlah apa yang ingin didakwahkan agar mad'u FAHAM

BAHASA ILMU- gunakanlah bahasa yang mudah diFAHAMi oleh penuntut ilmu.Bahasa Melayu juga salah satu bahasa ilmu yang mudah faham berbanding bahasa Inggeris.

Mengumpat


Nabi Muhammad SAW bejumpa dengan para sahabat dan bertanya, “ Kamu tahu apa itu mengumpat? ” Mereka menjawab “ Allah dan Rasul-Nya lebih tahu ” Nabi bersabda lagi, “ Kamu menyebut apa yang saudara kamu benci” Mereka berkata lagi, “ Apa kata kalau yang kusebut itu sememangnya ada pada saudaraku? “ Nabi bersabda lagi, “ Jika yang kamu sebut itu ada pada dia, maka itulah mengumpat. Jika yang disebut itu tiada padanya, maka itulah pembohongan besar. ”
(Hr Muslim )

Hadis ini menunjukkan kepada definasi mengumpat.

Satu ketika, Aisyah mengumpat isteri Nabi Muhammad SAW (Sofia), “ Dia itu pendek. ” . Maka Nabi bersabda, “Kamu telah menyebut perkataan yang mana sekiranya ia bercampur dengan air laut nescaya akan berubah air laut itu. ” (Hr Abu Daud dan Baihaqi)

Maksud hadis di atas difahami bahawa mengumpat adalah menceritakan perihal saudara yang dia tidak sukai jika dia mendengarnya, sama ada tentang tubuh badan, pakaian, kenderaan, barang peribadi, mahupun bentuk kejadiannnya. Jika seseorang itu menceritakan keaiban saudaranya, maka dia telah dikira mengumpat.

Firman Allah
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." al hujurat-12



Khatib Berpesan

Pesanan yang Khatib selalu ucapkan sebelum solat jumaat dan selepas bacaan doa dalam khutbah ke-2

Firman Allah :-

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya."

An-Naml:90

Buku

Siapa yang membaca buku biasa-biasa, dia akan menjadi orang yang biasa-biasa.. Siapa yang membaca buku luar biasa, dia akan menjadi orang yang luar biasa juga..rajinkan diri membaca buku2 yang ilmiah..

Sumpah Syaitan

Syaitan bersumpah mereka akan menjadikan benda yang baik itu nampak buruk dan benda yang buruk itu nampak baik..

Pimpinan

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
 [al-Ankabut, ayat 69]

“Pimpinan” Allah boleh wujud dalam pelbagai bentuk, seperti dipertemukan dengan guru yang benar, ditunjuki kepada buku daripada penulis yang jujur, dipersahabatkan dengan orang-orang yang shalih, dibimbing kepada subjek-subjek yang mengikut tertib kepentingannya dan ditanam dalam dirinya akhlak yang mulia apabila berinteraksi dengan ilmu agama. Oleh itu janganlah merasa ragu-ragu atau rendah diri untuk berusaha memahami agama Islam. Yakinilah bahawa Allah akan memimpinnya selagi mana dia ikhlas dan bersungguh-sungguh.

10 Orang Solatnya tidak Diterima Oleh Allah


Cuba sahabat2 baca, faham betul2 golongan yang ke-10..adakah kita juga tergolong dalam golongan yang ke-10?.. 

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam padahal makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang meminum arak tanpa mahu meninggalkannya(taubat).
6. Orang perempuan yang suami marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang zalim.
9. Orang yang suka makan riba.
10. ORANG YANG SOLATNYA TIDAK MAMPU MENAHANNYA DARI MELAKUKAN PERBUATAN KEJI DAN MUNGKAR..

Keji - maksudnya tidak melakukan segala suruhan dan perintah Allah.
Mungkar - maksudnya melakukan perkara-perkara yang Allah larang.

Sabda Rasulullah s.a.w :-

"Barangsiapa yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah dan jauh dari Allah." 

Sabda Rasulullah s.a.w :-

"Sesiapa yang menjaga Solat, maka solat itu akan menjadi cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapayang tidak memelihara solat, maka solat itu tidak menjadi cahaya, dan juga tidak menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya"(Tabniyul Mahaarim)


Usaha Doa Tawakal


Tazkirah jumaat:- Dalam Islam tiada istilah PENGGANGURAN..Istilah ini hanya diguna pakai oleh orang yang berakal sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi jalan.

Cara usaha bukan hanya meminta doa kepada Allah tanpa usaha, itu malas namanya. Sungguh tidak redha Allah melihat orang yang malas dan suka berputus asa. Ingatlah Allah tidak mengkabulkan doa orang yang malas berusaha dan orang yang mudah berputus asa..


Celaka

Sabda Rasulullah s.a.w :- 

" Tidak akan masuk neraka kecuali orang yang celaka". maksudnya.. " Iaitu orang yang tidak melakukan ketaatan kepada Allah dan tidak meninggalkan maksiat kepada Allah s.w.t" 

(Riwayat Ahmad)

Sunday, 20 April 2014

Kepincangan Makna Ilmu dalam Kalangan Mahasiswa


topi konvo
ketinggian ilmu

"Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya hendaklah dia lebih berilmu.”

Jika dirujuk pada petikan di atas dan hadis nabi, maka akan terserlah banyaknya kelebihan dan ganjaran yang Allah sediakan bagi orang yang menuntut ilmu. Banyak hadis nabi yang membongkarkan fadhilat penuntut ilmu. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu dan betapa pentingnya untuk menuntut ilmu. Antara fadhilatnya, Allah memudahkan jalan bagi penuntut ilmu untuk ke syurga, penuntut ilmu akan dipayungi oleh para malaikat, diangkat darjatnya lebih tinggi berbanding ahli ibadah yang jahil, penuntut ilmu dianggap sebagai pejuang Allah, semua penghuni langit dan bumi akan memohon keampunan buat orang yang sedang menuntut ilmu dan pelbagai lagi ganjaran yang Allah kurniakan. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitik beratkan soal ilmu dalam setiap diri manusia.

Nabi pernah bersabda,

“ Sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah fardhu bagi setiap muslim.”
                
Ilmu yang bermanfaat ialah segala ilmu yang mendorong dan membimbing manusia untuk melakukan kebaikan serta mencegah daripada melakukan kejahatan. Ilmu yang tidak bermanfaat pula adalah ilmu yang tidak dapat membentuk penuntutnya menjadi seorang manusia yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama serta negara. Ilmu dunia yang terlalu luas ini memungkinkan manusia tersesat. Oleh kerana itu perlu diimbangi dengan ilmu agama untuk memilih mana yang benar, mana yang batil dan untuk mengetahui mana yang halal dan mana yang haram demi menyelamatkan diri dari lembah kebinasaan.


Jihad Ilmu


Apabila disebut jihad, maka ramai yang akan membayangkan mata pedang, peperangan, senjata dan pertumpahan darah. Ini sedikit sebanyak telah menyempitkan aspek jihad. Jihad merupakan satu syariat Islam, sedangkan syariat Islam itu adalah releven pada setiap masa. Tidak mungkin syariat Islam akan ketinggalan zaman. Maksud jihad dari sudut bahasa adalah bererti mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita sama ada yang mulia dan ideal ataupun tidak. Manakala jihad ilmu pula bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk berkorban segala usaha dan tenaga demi meningkatkan ilmu pengetahuan yang dimiliki dan sentiasa berazam menjadikan menuntut ilmu sebagai amalan dalam kehidupan. 

Hilmy Bakar Al-Mascaty telah membahagikan jihad kepada 5 kategori iaitu Jihad Harta, Jihad Jiwa, Jihad Pendidikan, Jihad Politik dan Jihad Ilmu Pengetahuan. Jika dilihat pada zaman kemajuan sains dan teknologi sekarang ini, jihad ilmu pengetahuan hampir menyamai dengan kepentingan jihad di medan peperangan pada zaman lampau. Peperangan zaman moden tidak hanya menuntut penggunaan senjata sahaja tapi juga lebih mengutamakan pada ilmu pengetahuan dan teknologi sebagai senjata baru. Lihat saja pada zaman ini, negara yang menguasai teknologi seperti AS, Rusia, China dan beberapa lagi negara besar mampu menguasai dunia seterusnya juga menguasai negara-negara yang lemah. Oleh itu, seharusnya kita semua sedar bahawa jihad mempunyai makna yang luas dan meliputi segenap aspek kehidupan manusia.

kalam Imam Syafie
kalam murabbi
Merujuk kepada konteks jihad melalui ilmu ia mengajar pemiliknya kepada pengakuan tentang kedudukan yang tepat bagi Allah selaku pemilik dan pentadbir alam. Manakala kedudukan manusia ialah selaku hamba dan khalifahNya di muka bumi. Walaubagaimanapun, sistem pendidikan sekular dari barat yang telah berjaya membenih masuk sekian lama dalam sistem pendidikan di Malaysia telah menghasilkan bunganya. Perhatikanlah hasilnya, daripada pendidikan sekular telah lahir ramai graduan Islam yang dapat melonjakkan produktiviti kepada masyarakat dan negara tetapi hilang adabnya kepada pencipta dan makhluk-makhluk lain. Sebagai contoh, ramainya golongan-golongan jurutera, arkitek pembinaan masih mengamalkan rasuah bagi mendapat kelulusan projek. Sebelum atau selepas sahaja mendapat projek yang bernilai jutaan ringgit, pasti sahaja golongan ini akan berhibur di kelab malam sambil meminum air kencing syaitan. Situasi lain juga menggambarkan adanya perasaan bakhil di dalam diri. Nilai RM1 atau RM5 dirasakan sangat besar untuk diberikan kepada golongan miskin sedangkan gaji bulanan telah pun mencecah lima angka !! Inilah akibat apabila hanya pendidikan duniawi diutamakan, pendidikan ukhrawi diabaikan. 

Kepentingan jihad ilmu berlandaskan syariat Islam akan menjadikan penuntutnya seorang yang berguna kepada masyarakat sekeliling.  Konsep ilmu yang benar bukan sekadar diisi ke dalam akal fikiran tetapi juga dalam hati nurani manusia sehingga ilmu tersebut dapat dizahirkan dengan amalan praktikal melalui tingkah laku yang beradab dan berakhlak. Kalau dilihat pada zaman sekarang, pada setiap tahun akan lahirnya berpuluh-puluh ribu mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai instititusi pendidikan awam mahupun swasta di seluruh negara. Jika dilihat pula pada statistik jenayah negara, bilangan jenayah telah mengatasi bilangan mahasiswa yang bergraduasi. Amat sedih dengan ketidakseimbangan julat tersebut jika dibandingkan dengan jumlah penuntut ilmu. Ternyata ilmu yang dipelajari di peringkat kolej ataupun universiti masih belum cukup untuk mengelakkan atau mencegah berlakunya perkara mungkar. Atau mungkin juga kerana ilmu yang dimiliki oleh mahasiswa cetakan institusi pendidikan gagal membantu mereka untuk menyedarkan masyarakat dalam mengenal erti jenayah seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah negara.

Saidina Ali ra pernah menukilkan katanya yang bermaksud,

Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga kamu, manakala dengan harta, kamu pula yang menjaganya. Ilmu itu penghukum (hakim) manakala harta pula akan terhukum. Harta itu akan berkurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu akan bertambah apabila dibelanjakan.

Kesimpulan dari jihad ilmu pengetahuan yang perlu diketahui bagi setiap mahasiswa ialah telah menjadi satu kewajipan baginya untuk menuntut ilmu dalam bidang yang dipelajari sessungguh-sungguhnya walau dalam apa jua bidang sekalipun sama ada bidang sains, teknologi, perundangan, perubatan, pemakanan, sastera, sejarah, ekonomi, politik, agama dan bidang lain-lain kerana dia secara tidak langsung dia telah menjadi wakil umat Islam untuk menguasai bidang tersebut. Menjadi satu kesalahan bagi dirinya seandai dia gagal untuk menghadiri kuliah atau menyiapkan tugasan disebabkan oleh disibukkan demgan sesuatu perkara yang bukan dalam bidang sepatutnya dia pelajari.

Permasalahan besar yang masih berlaku di kalangan mahasiswa adalah kurangnya budaya membaca buku. Budaya program nilam yang disemai sejak dari sekolah rendah gagal menjadikan mereka memiliki perasaan cintakan buku. Jenis buku yang dimaksudkan adalah jenis bacaan yang berat seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan pelbagai lagi mengikut jurusan yang diambil. Sepatutnya bukan bahan bacaan ringan seperti novel cinta, komik atau majalah hiburan menjadi bahan bacaan utama. Cuba bandingkan tempoh bacaan novel cinta dengan buku rujukan subjek yang mempunyai ketebalan sekitar 200 hingga 300 muka surat. Sudah pastinya novel cinta mampu dihabiskan dahulu dalam masa kurang dari tiga hari walaupun mempunyai jumlah muka surat melebihi 600 berbanding dengan buku rujukan subjek yang mengambil masa belum tentu satu semester sudah habis diulangkaji. Ini kerana buku rujukan subjek lebih berat bacaannya bagi otak tapi ia tetap menjadi kewajipan bagi mahasiswa untuk membeleknya.

Majlis Pengijazahan.

Sifat ilmu itu seharusnya melahirkan seorang manusia yang mengikut resmi padi, apabila berisi semakin tunduk. Begitulah realitinya dengan mahasiswa sekarang apabila melangkah sahaja keluar dari menara gading selepas pengijazahan, membawa segulung sijil dengan megah tetapi langsung tidak mengetahui apakah falsafah yang terkandung dalam majlis pengijazahan atau turut dikenali sebagai konvokesyen.

Majlis pengijazahan adalah bermakna seorang mahasiswa itu telah berjaya menamatkan pengajiannya. Ia juga adalah simbol seorang guru mengiktiraf ilmu yang diajar kepada anak muridnya. Majlis pengijazahan sebenarnya adalah merupakan satu petanda yang amat penting bagi setiap orang yang menerima dan memberi ijazah tersebut. Bagi penerima ijazah atau anak murid, mereka sebenarnya telah dibebani satu tanggungjawab baru iaitu untuk menyampaikan ilmu yang selama ini telah berpuluh-puluh tahun dituntut semenjak dari zaman kecil tadika sehinggalah saat pengijazahan terakhir doktor falsafah. Mereka seharusnya menyumbangkan segala ilmu dengan berbakti semula kepada masyarakat dan menunjukkan sebagai seorang ahli ilmu dengan contoh akhlak yang soleh bertepatan dengan nilai ilmu itu sendiri.

Bagi penganugerah ijazah atau juga dikenali seorang guru pula haruslah berterusan mendidik anak muridnya dengan sebaik-baiknya kerana guru bertanggungjawab terhadap apa yang diajar oleh mereka dan apa yang akan diajar oleh anak murid kepada masyarakat. Berat sebenarnya tanggungjawab seorang guru. Malangnya konvokesyen sekarang sudah tidak difahami oleh setiap graduan. Mereka menganggap ia hanya sebagai satu majlis untuk bergembira sambil meraikan kejayaan mereka sebagai seorang mahasiswa yang sudah menamatkan sukatan pelajaran dan akan berakhir di situ sahaja. Padahal dunia ilmu itu adalah luas dan langsung tidak akan penah habis sehinggalah kamu menghirup nafas terakhir dan yang paling penting adalah tanggungjawab selepas tamat pengijazahan untuk membayar semula jasa kepada masyarakat di samping tidak lupa pada pinjaman tabung pendidikan.

pokok ilmu
ilmu tanpa amal

Wednesday, 9 April 2014

15 Perkara Yang Mengundang Bala


Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata,  Rasulullah s.a.w bersabda : “ Apabila umatku melakukan 15 perkara maka bala bencana akan menimpa mereka.” Maka sahabat bertanya. “Apakah itu wahai Rasulullah?”.


1.Harta rampasan perang hanya dikuasai golongan berkuasa.

Pembahagian harta rampasan perang adalah dibahagikan berdasarkan kiraan 1/5 untuk maslahat umum, kaum kerabat nabi, anak yatim, orang miskin dan ibnus sabil (orang musafir). Manakala 4/5 lagi dibahagikan kepada para pejuang yang berjihad. Keadaan semasa menunjukkan sebaliknya dengan maksud hadis. Golongan atasan memonopoli semua harta yang diperolehi.
Perkara ini boleh dikiaskan dengan harta sebuah negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk manfaat rakyat tetapi hanya dinikmati oleh golongan tertentu sahaja.


2. Amanah dijadikan sumber keuntungan.

Harta yang diamanahkan kepada seseorang dijadikan modal atau sumber keuntungan tanpa pengetahuan serta keizinan tuan empunya harta tersebut. Dia mahu mengaut keuntungan secara seorang diri tanpa mengeluarkan modal dan berkongsi dengan pemilik harta. Contohnya ialah apabila seorang sahabat mengamanahkan untuk menjaga keretanya selama seminggu kerana ada urusan di luar negara. Lantas amanah yang diberi itu digunakan untuk memperoleh keuntungan dengan cara membuat perkhidmatan sewa kereta. Bagaiamanapun ia berbeza dengan simpanan wang di bank-bank kerana pemilik harta telah maklum dengan kontrak perjanjian yang disepakati.


3. Zakat dianggap hutang.

Golongan yang mengeluarkan zakat dalam keadaan terpaksa, tidak ikhlas dan menganggapnya sebagai suatu beban hutang. Golongan ini tidak memperoleh pahala disisi Allah kerana tiada sifat keikhlasan dari dalam hati. Pembayaran zakat dilewat-lewatkan kerana sayangnya terhadap duit atau juga melihat duit zakat boleh digunakan sebagai modal perniagaan untuk mendapat keuntungan yang lebih besar pada masa hadapan.

  
4. Suami taat pada isteri.

Kredibiliti seorang lelaki bergelar suami telah hilang apabila gagal bertindak sebagai pemimpin rumah tangga. Sebaliknya isteri pula yang mengambil alih peranan tersebut secara sedar atau tidak sedar. Keadaan ini boleh berlaku kerana status kedudukan atau pendapatan isteri melebihi suami dan mungkin juga kerana oleh kecantikan isteri. Oleh kerana terlampau cinta dan takut kehilangan isteri, seorang suami merelakan kepalanya dipijak dan taat segala arahan isteri.


anak derhaka moden
tanggang moden
5. Anak menderhakai ibunya.

Perkara ini berlaku antara sebabnya adalah kerana terpersona dengan ujian dunia. Godaan rakan sebaya, desakan teman berlainan jantina serta nafsu keinginan pada harta boleh mengakibatkan seorang anak menderhaka kepada ibubapanya. Segala nasihat ibu terasa sebagai kokongan. Apabila ibubapa melangkau ke usia tua, tanggungjawab menjaga mereka diserahkan kepada penjaga rumah orang tua. Wujudlah golongan yang digelar tanggang moden.



6. Seseorang yang berlaku baik kepada kawannya.

Menjadi satu dosa apabila seorang anak berasa kurang selesa atau menyampah ketika bercakap dengan orang tuanya. Namun berasa sungguh gembira apabila bersama kawan-kawannya. Hubungan dengan ibubapa semakin renggang. Dia lebih mesra bercakap dan mendengar kata kawannya berbanding ibu bapa sendiri. Kawan-kawan diutamakan, ibu bapa dipinggirkan.


7. Suara meninggi di dalam masjid.

Maksudnya ialah mereka yang tidak memelihara adab-adab di dalam masjid. Kehormatan masjid sebagai rumah Allah dan tempat ibadat tercemar dengan suara gelak tawa, suara perkelahian, umpatan dan fitnah, berjual beli, hiburan, mencari pengaruh dan sebagainya.


8. Pemimpin suatu kaum ialah orang yang paling keji di kalangan mereka.

Ciri seorang pemimpin sepatutnya orang yang paling terbaik dan adil di dalam satu kumpulan manusia. Dia disanjung dah dihormati kerana kewibawaanya. Namun pada akhir zaman ramai pemimpin yang berakhlak buruk dan keji terpilih menjadi pemimpin masyarakat. Ini kerana mereka hanyalah mengejar kekayaan dunia walaupun mengetahui masih terdapat ramai lagi calon pemimpin yang selayaknya.


9. Seseorang dihormati kerana ditakuti kejahatannya.

Pemimpin sekarang dimuliakan dan dihormati bukan lagi kerana mereka disanjung oleh rakyat tetapi kerana takut dizaimi dan dianiaya. Tiada lagi perasaan kasih sayang antara pemimpin dan rakyat jelata. Sesiapa yang menentangnya pasti akan dihukum. Orang sebegini adalah orang yang paling malang hidupnya di akhirat kelak.


10. Arak diminum berleluasa.

minuman syaitan
arak
Meminum arak atau juga dikenali sebagai air kencing syaitan merupakan satu dosa besar. Jelas menunjukkan perilaku peminum arak dapat merosakkan saraf otak dan mampu membuat perkara-perkara yang tidak dingini kerana sudah berada dalam keadaan tidak sedar. Perbuatan yang menyebabkan kemudaratan seperti boleh menghilangkan kewarasan adalah haram kerana ia bertentangan dengan maqasid syariah yang menjaga lima perkara antara salah satunya adalah akal.


11. Sutera dipakai oleh kaum lelaki

Jelas haram hukumnya sutera dipakai oleh kaum lelaki tanpa sebab darurat, penyakit atau masalah kulit. Ia haram bagi lelaki dan dibenarkan untuk kaum wanita. Sutera dipakai sebagai satu lambang kekayaan dan kemegahan kerana harganya yang mahal. Mungkin kerana kurang pengetahuan agama menyebabkan si pemakai tidak mengetahui keharamannya. Namun begitu, kain sutera sintetik/tiruan tidak termasuk dalam larangan ini kerana yang diharamkan ialah sutera semulajadi.


12. Penyanyi wanita disanjung.

Asal sesuatu perkara adalah harus sehinggalah ada dalil yang mengharamkannya. Hiburan adalah harus hukumnya dan memang Islam membenarkan hiburan dengan keadaan berlandaskan syarak. Pada dunia akhir zaman, telah semakin banyak membiak konsert-konsert liar dan melampau. Lebih-lebih lagi apabila artis-artis wanita diangkat sehinggakan sejarah kisah hidupnya juga ingin dibukukan. Lihatlah sahaja dengan fesyen pakaian mereka yang pasti akan menggiurkan setiap lelaki yang memandang. Ragam anak muda yang menjadikan mereka sebagai idola hanyalah akan menjauhkan diri dari mengingat kepada Yang Maha Pencipta.


13. Alat-alat muzik banyak dimainkan.

Maksud alat-alat muzik banyak dimainkan ialah menunjukkan semakin banyaknya konsert-konsert dan hiburan yang melampau dalam kalangan umat Islam. Budaya hiburan melampau  juga dikenali sebagai hendonisma. Mereka melebihkan hiburan dan keseronokan sehingga malas dan lalai dari mengingati Allah serta menjalankan tanggungjawab sebagai muslim. Faktor penyakit hati mati juga berpunca dari banyaknya dengan hiburan yang semestinya lalai dari mengingati Allah.

AF hiburan melampau
hiburan melampau


14. Umat yang akhir melaknat umat yang awal.

Ini merujuk kepada generasi akhir umat islam yang melaknat dan menyalahkan generasi awal umat islam terutama para sahabat r.a dan para salafussoleh. Perbuatan ini lebih banyak berlaku dalam fahaman syiah yang mengungkit dan membangkitkan peristiwa lalu yang berlaku dalam kalangan para sahabat nabi. Dengan pelbagai alasan yang direka, mereka tanpa segan silu melaknat dan mencaci para sahabat r.a.


15. Ilmu dipelajari bukan kerana agama.

Kini, terdapat sebahagian orang yang belajar ilmu agama bukan kerana Allah tetapi kerana ingin berbangga-bangga, memperolehi kedudukan dan harta atau mencari populariti. Bahkan semakin banyak institusi pendidikan yang menawarkannya. Ilmu selain agama seperti ilmu teknologi, ekonomi, perundangan, kejuruteraan dan sebagainya mampu memberi kepada si penuntut ilmu kekayaan dan kemewahan. Maka ia dipelajari demi mendapatkan kekayaan semata-mata, bukan kerana agama. Inilah antara salah satu kumpulan yang rugi kerana tidak dapat memanfaatkan ilmu tersebut kepada maslahah umat islam.


16. Orang yang palin fasik menguasai sesuatu kabilah.


majalah Q&A isu 28
Q & A 28
Orang fasik ialah orang yang banyak melakukan dosa kecil atau dosa besar. Disebabkan oleh kepetahan dan kepintarannya untuk menguasai telinga para pendengar. Akhirnya pemimpin yang fasik tetap dipilih walaupun mengetahui sifar peribadi yang calon disebabkan oleh bakal pemimpin ini pandai mempengaruhi manusia. 

.........................................................................................................................

sambungan daripada hadis tadi,
“………maka pada waktu itu, hendaklah mereka tunggu kedatangan angina merah atau mereka akan ditelan oleh bumi dan diubah rupa wajah.”


Rujukan : Majalah Q&A isu 28.

Wednesday, 19 March 2014

Ramadhan yang Dikenali

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam diutuskan kepada jujungan baginda Rasulullah s.a.w.

Alhamdulillah, Ramadhan datang kunjung kembali. Bagaimanakah reaksi dan persiapan untuk Ramadhan kali ini? Artikel ini adalah luahan dan pandangan penulis yang biasa penulis lihat dalam tempoh sebulan Ramadhan.


Ramadhan yang Dikenali...


Bagaimanakah kamu mengenali Ramadhan al-Mubarak? Adakah Ramadhan itu dikenali hanya dengan syurga makanan? Terkenalnya Ramadhan kerana dapat meratah ayam golek? Dapat merasai kesedapan ayam panggang? Cukup dengan hanya dapat menikmati ikan bakar tiga rasa ataupun ayam percik ataupun roti john atau juga murtabak? Ditambah pula cuma dengan kesegaran jus buah? Apakah dengan sebulan Ramadhan hanya kamu ingin meletakkan diri tergolong dalam kumpulan yang suka makan?
roti john ramadhan
roti john

Atau kamu kenali Ramadhan hanya sebagai lautan rezeki segera bagi kamu peniaga amatur? Ada yang mengenali Ramadhan sebagai tempoh untuk mengaut kekayaan. Peniaga amatur yang hanya muncul setahun sekali. Tidaklah salah tapi inilah juga peluang setahun sekali. Jangan kerana mengejar kekayaan dunia yang hanya picisan sehingga buta mengaut kekayaan akhirat yang melimpah. Tidak salah ambil peluang kaya dunia tapi jangan sekali buang peluang akhirat.

Ataupun terkenalnya dengan pesta bufet Ramadhan di hotel-hotel mewah? Turut juga restoran-restoran makanan barat serta laut. Sama ada yang diiktiraf halal oleh JAKIM atau juga sebaliknya. Apakah pesta makanan itu juadah yang menyelerakan atau sekadar lautan pemenuh nafsu? Rendahlah taraf jika mengikut kepuasan nafsu makan atas sebab kelaparan lebih 12 jam. Puas, sungguh puas. Inilah tiga golongan pertama yang saling berkait. Golongan kuat makan dipengaruhi oleh bazar Ramadhan dan pesta bufet makanan.

bunga api raya
bunga api tahun baru
Ataupun hadirnya Ramadhan disambut dengan letupan-letupan mercun?.Patutkah gologan ibu bapa memperkenalkan anak-anak lelaki mereka Ramadhan itu bulan untuk bergembira bermain mercun? Tiba sahaja Ramadhan seolah-olah menjadi satu kemestian pula seorang ayah membeli mercun untuk anak-anaknya. Beritahu sahaja mercun apa. Mercun roket? Bunga api? Mercun bawang? Mercun gasing? Mercun bola? Telur naga? Mercun mancis? Karbaid? Hasilnya tidak lain tidak bukan sama ada berakhir dengan kegembiraan atau tragedi yang berulang - langsir hangus, jari putus, mata buta, rambut terbakar.

Ataupun Ramadhan akan dikenali dengan bulan tragis dek tragedi kemalangan? Faktornya lebuh raya menjadi medan perlumbaan lumba kereta secara tidak rasmi. Siapa yang tidak mahu cepat sampai ke destinasi. Jadilah seorang pemandu yang berhemah. Jangan lakarkan sejarah di bulan Ramadhan dengan kematian orang yang tersayang, atau kaki yang terputus atau patah tangan, kemalangan ngeri atau kereta terbalik sehingga meletup. Apabila ingin memintas kenderaan biarlah anggaran dengan penuh yakin dapat lepas agar nyawa kita yang tidak terpintas.

Atau Ramadhan ini hanya dikenali bulan yang cukup mewah kerana dapat berbelanja sakan untuk menyambut 1 Syawal?. Apakah hanya dengan hadirnya Ramadhan terus ditukar langsir baharu, set sofa baharu, set perabot baharu. Raya semakin bertambah sakan apabila ada yang terus tukar kereta baharu, rumah baharu mungkin juga bertambah meriah dengan kehadiran pengantin baharu. Cukuplah bagi orang biasa untuk memperoleh baju raya atau baju kurung baharu sempena aidilfitri tapi itu masih lagi bukan Ramadhan yang patut dikenali.


Perangai Sesetengah Orang.


Ada orang pada bulan Ramadhan dia anggap adalah bulan yang menyiksakan kerana tiada lagi sarapan pagi. Tiada lagi roti canai, kopi o, teh tarik, nasi lemak, roti telur, oat, koko krunch Nafsu menghasut apabila tidak makan akan jadi lapar, haus, dahaga, badan jadi penat, tiada tenaga. Nafsu terus memomokan akal bahawa bulan Ramadhan ini penuh ujian menjadikan dia penuh keluh kesah dan penuh rungutan. Apatah pula lagi dengan menu makan tengah hari yang lagi-lagi lah menyelerakan.

Ada orang pada bulan Ramadhan kerjanya makan sahaja. Pada waktu sahur makan berpinggan-pinggan.
Telan supplement, ginseng, pil tenaga takut lapar di kala waktu siang.. Masa berbuka nanti apatah lagi. Pasti lagi banyak ditelannya. Ingatlah nabi berpesan untuk suruh bangun sahur bukanlah semata-mata untuk mengalas perut di waktu siang tapi juga untuk mengambil berkat. Di mana berkatnya jika makan sehingga terlalu kenyang.

Ada hamba Allah pada waktu sahur dimulakan dahulu dengan solat tahajud sekurang-kurangnya 2 rakaat baru menjamah sahur. Niat sungguh ikhlas untuk mengejar lailatul qadr. Kehebatan hamba Allah ini ditunjukkan dengan memburu ganjaran lebih baik dari seribu bulan sejak awal 1 Ramadhan lagi. Alhamdulillah.

Cukuplah mencari suasana Ramadhan yang baru. Berhentilah meneroka Ramadhan yang bukan dari sepatutnya. Mari kembali bekerja pada Ramadhan yang asal tujuan kewujudannya. Ramadhan harus dikenali dengan penuh pengisian rohani. Padat dengan amal ibadat dari seawal tahajud sehinggalah ke akhir mata terlelap.


sujud berjemaah
solat berjemaah

Ayuh Hayati.


Hayati kata-kata ini, "Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi sebenarnya berbuka dan berapa ramai orang yang berbuka tapi sebenarnya berpuasa."

Maksud bagi orang yang berbuka tapi berpuasa ialah seperti orang yang menjaga segala anggotanya iaitu mata, mulut, tangan, hati, kaki, telinga daripada sebarang dosa walaupun dia makan dan minum. Dalam menjaga pandangan dan menutup mulut tidaklah hanya sebulan dalam setahun tetapi hendaklah sepanjang mata melihat dan mulut masih dapat berbicara.

Manakala maksud orang yang berpuasa tapi sebenarnya berbuka ialah orang yang sedang lapar dahaga berpuasa sepanjang hari tetapi anggota badannya asyik melakukan dosa.

Imam Ghazali telah mengelaskan orang yang berpuasa itu kepada 3 kumpulan :-

1. Puasa orang awam @ Shaum al-Umum iaitu orang yang berpusa sekadar menahan lapar dan dahaga serta menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja. Inilah darjat puasa kebanyakan orang awam.

2. Puasa orang khusus @ Shaum al-Khusus iaitu orang yang berpuasa dan menjaga diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa serta menjaga mata, lidah, telinga dan anggota-anggota tubuh yang lain dari perkara-perkara maksiat yang boleh mengurangkan darjat pahala puasa. Inilah puasa golongan orang-orang yang soleh.

3. Puasa golongan khusus dari yang khusus @ Shaum Khusus al-Khusus iaitu darjat puasa bagi golongan nabi, para rasul, siddiqin dan muqarrabin. Mereka berpuasa seperti golongan kedua tetapi dengan ditambah padanya puasa pada hati. Melupakan dari segala perkara yang hina, perkara duniawi serta mencegahnya daripada selain Allah secara keseluruhannya.

Bagi kita sebagai manusia biasa mungkin terlampau sukar untuk mencapai darjat puasa golongan ketiga tetapi tidaklah bermaksud mustahil. Biarlah diletakkan untuk kita berusaha mencapai makam puasa dalam golongan kedua dengan cara :-

i) Menjaga pandangan
ii) Menjaga percakapan
iii) Menjaga pendengaran
iv) Menjaga seluruh anggota badan dari dosa
v) Tidak makan terlampau banyak ketika berbuka
vi) Jadikan hati sentiasa dalam keadaan takut dan berharap kepada Allah tentang penerimaan ibadah


Doa


Ya Allah, jadikanlah puasaku di bulan ini seperti orang-orang sejati berpuasa dan qiamku seperti orang-orang yang bangkit, bangunkanlah aku di bulan ini dari kelelapan tidur orang-orang yang lupa. Ampunilah segala kesalahanku wahai Tuhan semesta alam, ampunilah aku wahai pengampun orang-orang yang bersalah.