Tuesday, 4 February 2020

Tertewas kerana Ikhlas



Dalam kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin telah disebutkan satu kisah iaitu :

Pada zaman dahulu, di sebuah kampung terdapat sebatang pokok yang telah dijadikan tempat sembahan oleh masyarakat setempat. Akibat daripada perkara keji itu, seorang lelaki berazam untuk menebang pokok tersebut bagi menghalang penduduk kampung terus berkelakuan syirik kepada Allah. Lelaki itu pun mengambil kapak dan menuju ke arah pokok tersebut.

Pokok itu telah dijaga oleh seekor syaitan dan syaitan itu jugalah yang menghasut orang kampung untuk terus menduakan Allah dengan menyembah pokok itu. Ketika syaitan terlihat langkah gagah lelaki itu, lantas ia menyerupai manusia dan bertanya, "Apa yang kau ingin lakukan wahai manusia?

Lelaki itu menjawab, "Aku ingin menebang pokok ini. Ramai telah syirik kerana menyembahnya.

"Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk menebang pokok ini. Langkah mayat aku dahulu", respon syaitan dengan gahnya.

Lalu terjadilah pertarungan antara mereka berdua dan lelaki itu menang pada pusingan pertama. Syaitan tahu jika perlawanan diteruskan ia akan terbunuh tetapi sikap putus asa untuk menyesatkan umat Adam tidak pernah luntur. Dengan kelicikan muslihatnya, dia menawarkan kepada lelaki tersebut dua keping dinar emas setiap hari dengan syarat dia membatalkan niat untuk menebang pokok itu. 

Lelaki itu berfikir bahawa itu adalah satu tawaran yang lumayan. Beliau tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari rezeki kerana habuan dua keping dinar emas akan diberikan setiap hari. Maka persetujuan pun berlaku.

Pada keesokan harinya, setelah bangun dari tidur, dia mendapati ada dua keping dinar emas di bawah bantalnya. Dia tersenyum mendapat habuan serta tidak menyangka syaitan patuh pada janji. Habuan tersebut diperolehnya untuk beberapa hari. Namun ia tidak kekal lama, tiada lagi dinar emas seperti dijanjikan. Lelaki itu sangat marah lantas mengambil kapak dan menuju ke pokok keramat itu, tempat syaitan itu berada.

Tiba sahaja di situ, berlaku pertengkaran antara lelaki dengan syaitan berupa manusia. Lelaki itu bertekad untuk menebang sahaja pokok itu kerana rasa marah atas mungkir janji. 

Syaitan itu berkata "Aku akan menghalang kamu. Tewaskan aku dahulu sebelum meneruksan niatmu."

Maka berlakulah pertarungan kedua dan kali ini syaitan menang mudah tanpa mengambil masa yang lama untuk menghabiskan perlawanan. 

"Mengapa hari itu aku dapat mengalahkanmu tetapi kali ini aku pula tewas mudah?" tanya lelaki itu dengan terkejut.

" Kali pertama kita bertarung, kau datang dengan ikhlas semata-semata kerana Allah untuk menebang pokok ini. Jadi aku tidak mampu mengalahkanmu. Tetapi kali ini kau datang bukan kerena Allah tetapi kerana marah aku tidak lagi memberimu dinar emas. Apabila kau tidak ikhlas kerana Allah, maka aku berjaya mengalahkanmu." balas syaitan dengan perasaan angkuh lagi sombong. 

No comments:

Post a Comment

Setiap tulisan dan artikel adalah pandangan penulis semata-mata. Tidak semestinya padangan penulis betul atau tidak semestinya salah. Kita semua berhak memberikan pandangan masing-masing. Jika berbeza pandangan boleh nyatakan di ruangan komen yang disediakan. Terima Kasih