Friday, 10 February 2017

Aktivisma Mahasiswa


Siapa Mahasiswa


‘Mahasiswa’! Satu nama yang pernah menggegar bumi Malaysia pada satu masa lalu.

Kewujudan AUKU pada tahun 1971 telah menjadi satu cerminan bahawa gerakan mahasiswa pernah menjadi satu kuasa besar yang mampu mempengaruhi keputusan kerajaan dalam membuat sesuatu undang-undang. Ini menjadi petunjuk bahawa kepaduan suara mahasiswa tidak boleh dipandang sebelah mata. Penguatkuasaan akta ini secara menyeluruh pada tahun 1974 telah berjaya memalapkan api kemaraan mahasiswa pada saat itu sehinggalah tahun-tahun seterusnya.

Gerakan mahasiswa di Malaysia sebenarnya telah muncul sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi dan kini usianya hampir mencecah satu abad. Ibrahim Yaakob merupakan pengasas gerakan mahasiswa pertama di Tanah Melayu yang telah menubuhkan sebuah gerakan pelajar secara bawah tanah dengan nama ‘Ikatan Pemuda Pelajar’ pada tahun 1929 di Maktab Perguruan Sultan Idris. 

Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi, Anwar Ibrahim, Ismail Mina, Dr Zaharuddin Abdul Rahman adalah antara sebahagian nama yang pernah mewarnai pentas mahasiswa pada era masing-masing. Nama-nama ini telah menjadi sejarah dan akan sentiasa disebut oleh mahasiswa yang terlibat dalam aktivisma mahasiswa masa kini dan akan datang. Kita juga sebenarnya berpeluang mencipta kisah tersendiri seperti mereka yang terdahulu dalam mencipta sejarah untuk disebut oleh golongan mahasiswa akan datang. 

Tulisan ini adalah bertujuan untuk membawa semula aktivisma mahasiswa sekarang dengan berpandukan pada tulisan Mustafa Muhammad at-Tahhan dalam risalah pemudanya berkisarkan aktivisma mahasiswa.

Apa itu Aktivisma Mahasiswa?


Aktivisma mahasiswa adalah satu kumpulan mahasiswa yang bergerak dalam satu aktivisma yang terpadu menuju kebangkitan umat. Mahasiswa adalah pemuda atau pemudi yang menuntut ilmu pengetahuan di kampus-kampus, institusi-institusi pendidikan dan kemahiran. Mereka berada dalam fasa serba ingin tahu, penuh sensitiviti terhadap isu-isu masyarakat, bersedia memberi dan berkorban.

Mahasiswa menjadi pilihan untuk melaksanakan amanah ini adalah kerana gerakan mahasiswa terdiri daripada para pemuda yang sentiasa bersemangat. Pemuda sentiasa terhadapan dalam aspek keberanian, aspek perubahan, aspek iman serta amal dan aspek pemikiran serta pembentukkan. Mereka mampu menguasai dan menghasilkan pemikiran serta pembaharuan.

Matlamat Aktivisma Mahasiswa.


Perkara pertama yang mesti menjadi matlamat gerakan mahasiswa ialah mempersiapkan generasi mahasiswa dengan akidah Islam yang mantap, pemikiran yang suci dan memastikan roh mahupun ilmu sampai pada peringkat yang layak sehingga mampu memikul beban umat. Individu yang gagal memahami prinsip asas agama dengan sempurna akan mudah terpedaya dengan hembusan-hembusan lembut dunia yang mengasyikkan. Semakin lama mereka akan tertipu dengan amal mereka oleh kerana gagal berpegang pada fikrah dan prinsip yang asal.

Para mahasiswi tidak terlepas dari mempersiapkan diri kerana mereka juga satu barisan bersama mahasiswa dalam menggerakkan aktivisma kepada masyarakat. Setiap satu sama lain mampu menyumbang mengikut peranan masing-masing. Bagi memastikan aktivisma terus bergerak, mahasiswa mesti mencari dalam kalangan mereka yang berpotensi dan mendorong mereka lebih terkehadapan lagi. Amatlah rugi sekiranya gagal menyerlahkan permata yang dimiliki apatah lagi sekiranya kehebatan mereka dialirkan pada perkara yang merugikan Islam.

Matlamat kedua dalam aktivisma adalah memelihara kebajikan mahasiswa. Kebajikan mahasiswa kebiasaannya boleh dihulur dalam bentuk bantuan kewangan, isu pelajaran, hubungan sosial dan cara pemikiran. Perkara ini mesti dijaga sebaiknya kerana merekalah yang akan mencorak masa hadapan sesebuah negara. Selain memelihara kebajikan kewangan, hendaklah dipastikan bahawa sikap atau akhlak mahasiswa dapat dibentuk melalui program-program universiti yang membina jati diri individu bukan pula program yang merosakkan seperti hiburan melampau dan merosakkan pemikiran. 

Matlamat ketiga adalah memelihara dan membela hak-hak umat. Mahasiswa boleh bergerak dengan cara mengembangkan rasa cinta kepada tanah air dan bangsanya melalui aktiviti-aktiviti patriotisme. Selain itu, menyebarkan nilai- nilai islam ke dalam jiwa masyarakat, memerangi kerosakan serta melawan serangan pemikiran dan ekonomi yang boleh mengancam kedaulatan agama dan negara boleh turut direncanakan oleh setiap golongan aktivisma mahasiswa. Walaupun bukan dengan cara mengetuai tapi dengan cara membantu pihak berkuasa sudah cukup menunjukkan satu sumbangan besar kepada masyarakat.

Buah Idea buat Pemimpin Mahasiswa.


Menjadi seorang pemimpin adalah satu tanggungjawab besar buat setiap individu jika dia memahami sepenuhnya tugas sebenar posisi ini. Mengetuai sebuah organisasi buat kali pertama pasti sahaja merisaukan andai tidak diurus dengan betul.

Penulis ingin berkongsi sedikit perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap pemimpin mahasiswa : 

i. Pengurusan yang betul terletak pada perancangan yang tersusun dan rapi. Jelas objektif yang ingin dicapai serta visi dan misi yang dikejar. Oleh itu, perancangan jangka panjang dan pendek perlu dilakukan.

ii. Memberi perhatian setiap perkara yang berlaku dalam dunia mahasiswa. Cuba menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi dan mewakili kepentingan sebahagian besar kelompok mahasiswa.

iii. Perlu libatkan seramai mungkin aktivis mahasiswa dalam aktiviti-aktiviti organisasi dan lihat respon mereka terhadap pelaksanaan program dan hasil-hasilnya.

iv. Jangan bataskan pengurusan organisasi hanya kepada anggota rasmi sahaja tetapi perlu libatkan juga mahasiswa lain yang berpotensi dan berpengalaman dalam dunia mahasiswa.

v. Tidak meminggirkan para mahasiswi dalam pengurusan, penyusunan langkah dan pelaksanaan program secara saksama. Setiap dari kita adalah pemimpin dan pastinya ada kebolehan yang boleh disumbangkan kepada organisasi.

vi. Semua pimpinan perlu variasikan kegiatan organisasi serta menjadualkannya sepanjang tahun pengajian termasuk waktu cuti. Jangan biarkan program hanya berfokus pada satu atau dua jawatankuasa sahaja.

vii. Menjalin hubungan dengan semua persatuan mahasiswa di dalam kampus dan tidak mengabaikan untuk membina jaringan dengan mahasiswa di kampus terdekat serta luar negara.

Penutup


Melihat keadaan masyarakat yang semakin dihanyut dengan kedahsyatan nafsu dunia, menjadi satu tuntutan mendesak untuk mahasiswa Islam bangkit semula dari tilam empuk kelesuan, berdiri dengan tegap dan berani untuk menghidupkan kembali nilai Islam di dalam diri masyarakat.

Hanya dengan membina aktivisma mereka dengan formula yang tepat, dipandu dengan kekuatan jatidiri, keluasan jaringan perhubungan dan disiplin diri serta berkat izin-Nya mahasiswa Islam pasti akan dapat menghadiahkan semula sinar yang hilang. Mahasiswa tidak selamanya bergelar mahasiswa kerana mahasiswa juga pemimpin umat di hari esok.

Sunday, 5 February 2017

13 Perkara Tanpa Sedar kamu sedang menghabiskan masa dengan sia-sia

Setiap dari kita mempunyai impian yang telah kita angankan sejak dari kanak-kanak lagi. Ingin mempunyai empayar perniagaan sendiri, keluarga yang bahagia, harta yang banyak, kerjaya yang diidamkan dan pelbagai lagi. Mungkin sahaja setengah dari kita telah mencapai impiannya tetapi bagaimana yang lain. Sedarkah simptom-simptom ini mungkin telah berjangkit dalam diri kamu menyebabkan kamu banyak menghabiskan masa tanpa sedar. 

Antaranya ialah :-


life not bored
hidup yang bosan

1. Kamu menghabiskan banyak masa melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Sibuk dengan permainan komputer, menonton tv, melayari internet, memenuhi masa dengan makan, tidur dan lepak. Cuba imbas seketika hidup kamu. Di mana kamu banyak menghabiskan masa? Adakah perbuatan kamu itu menjadikan hidup kamu lebih baik?  Adakah ia menjamin masa hadapan yang cerah? Jika tidak, kamu perlu segera ubah rutin harian kamu. Segera UBAH!

2. Kamu dapati diri kamu banyak mengeluh.

Terdapat ramai orang yang bersedih dengan kehidupan mereka dan mereka langsung tidak pernah berhenti meluahkannya sama ada di media sosial atau kawan rapat. Adakah kamu juga tergolong sama? Adakah kamu mengeluh tentang kerjaya kamu sekarang, bos kamu, gaji kamu, jiran kamu atau pasangan kamu? Jika ya, kamu sebenarnya tidak mengubah apa-apa, malah hanya mengumpul tenaga negatif. Perkara negatif tidak mengubah apa-apa yang baik. Ia hanya membuatkan kamu semakin tertekan. Jadi ubah cara pemikiran kamu dan bercakap dengan orang yang kamu hargai dalam hidup kamu bukan pada perkara yang kamu tidak suka.

3. Pengetahuan kamu konsisten.

Jika semakin hari semakin membesarnya kamu tapi pengetahuan kamu tidak bertambah, sebenarnya kamu sedang berada dalam keadaan yang rugi. Pengetahuan kamu tidak berkembang, kemahiran kamu tidak diasah dan bakat kamu juga sudah semakin tenggelam. Kamu ibarat air bertakung yang mungkin hanya mengumpulkan hidupan-hidupan mati. Itulah yang sebenarnya sedang berlaku kepada intelektual kamu jika kamu berterusan tidak menggunakannya dan tidak belajar sesuatu perkara baru. Menerima cabaran baru dalam kehidupan akan mengembangkan lagi cara pemikiran kamu untuk melihatnya dengan skop yang lebih luas.

otak kosong

4. Kamu sering kali bermonolog perkara negatif.

Bermonolog (bercakap dengan diri sendiri) boleh memberikan dua kesan sama ada positif atau negatif. Kesan positif ia boleh menyuntik semangat keyakinan dalam diri atau menyedarkan jiwa yang sedang gemuruh. Kesan negatif pula adalah sebaliknya jika dia bermonolog dengan perkara yang negatif. Minda separa sedar juga akan terpengaruh dengan kata-kata yang tidak merangsangkan perkara baik yang membawa kepada kejayaan. Diri kamu sendiri akan sentiasa berfikir ke arah kegagalan jika kalimat tidak boleh yang selalu kamu ucapkan.


Pepatah ada menyebut : Sama ada kamu berfikir kamu boleh atau tidak boleh, kedua-duanya adalah betul.
Jika kamu memberitahu pada diri bahawa kamu tidak cukup pandai untuk berniaga, maka kamu betul. Jika kamu memberitahu pada diri bahawa kamu telah terlalu penat berusaha untuk mengubah kehidupan, maka kamu betul. Apa sahaja yang kamu bermonolog menjadi kenyataan. Waspadalah apa yang kamu ucapkan sebabnya kamu akan dapati ia terjadi seperti yang kamu fikirkan.

5. Kamu rasa tidak terinspirasi.

Adakah kamu berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu? Ramai yang beranggapan mereka merasakan tidak terlampau gemuruh untuk sesuatu perkara. Ini bukanlah menjadi satu masalah. Pasti ada sesuatu yang menyeronokkan untuk kamu lakukan. Maka carilah sesuatu apa sahaja yang membuatkan kamu bersemangat untuk melakukannya.

6. Tiada perancangan masa hadapan. 

Jika kamu tiada matlamat dan impian untuk dicapai, kamu tidak ubah seperti sebuah kapal yang berada di tengah lautan yang tidak tahu ke mana arah hendak dituju. Hanya mengikut sahaja arah angin yang bertiup dan mengharap sampai ke daratan. Pemikiran sebegini adalah satu malapetaka bagi diri sendiri. Kamu mesti merangka satu pelan tindakan untuk menjayakan impian dan matlamat kamu. Tetapkan satu matlamat untuk dicapai dalam masa 5, 10, 15 dan 20 tahun akan datang.

7. Banyak menghabiskan masa dengan memenuhi agenda orang lain.

Cukup mudah sebenarnya untuk keluar bergembira dengan kawan-kawan. Secara tidak langsung sebenarnya kamu telah berjaya memenuhi agenda hidup kawan kamu tersebut. Itu bukanlah suatu perkara yang salah tetapi sekiranya ia berterusan kamu akan terus berada dalam keadaan yang rugi ataupun stagnant kerana tidak mempersiapkan agenda kamu sendiri tetapi terus menjayakan agenda orang lain. 

Sebagai contoh menemani kawan membeli-belah, keluar makan dengan kawan setiap hujung minggu, menjadi teman perjalanan kawan bagi menghadiri kursus di luar negeri dan sebagainya. Berhentilah memenuhi agenda orang lain yang langsung tidak memberikan suatu input positif untuk diri kamu dan carilah orang yang dapat memberikan suatu nilai tambah kepada kedua-dua belah pihak. 

Untung-rugi kita sama-sama naik!

canggih dan terbaru
smartphone

8. Terlampau ketagih dengan smart phone.

Kepesatan teknologi sekarang melahirkan pelbagai jenis gajet terbaru lagi tercanggih dan membuatkan kita terus terleka dengannya. Dalam keghairahan bermain gajet, tahukah kamu berapa banyak masa yang telah kamu habiskan dengannya. Bertambah teruk lagi, fikir juga berapa banyak hubungan yang menjadi renggang akibatnya. Jika kamu masih lagi tidak dapat berhenti seketika dengan gajet walaupun sedang makan bersama dengan keluarga, pasangan dan anak-anak, kamu telah kerugian masa yang sangat berharga bersama dengan mereka. Atau mungkin juga kamu kehilangan masa merancang masa depan kamu.

9. Banyak menghabiskan duit pada perkara yang tidak perlu.


Dalam zaman kegawatan ekonomi sekarang, kita perlu menjadi bijak untuk membezakan antara barang keperluan dengan keinginan. Oleh kerana adanya perasaan 'biar papa asal bergaya' atau sikap tidak mahu kalah dengan orang lain menyebabkan ramai yang menghabiskan duit pada perkara yang tidak sewajarnya. 

Dunia juga seolah terbalik apabila ramai anak-anak muda yang masih belajar sanggup mengumpul dan menghabiskan duit semata-semata untuk membeli gajet canggih lagi mahal kerana mahu mengikut arus peredaran zaman. Gajet yang dimiliki mereka jauh lebih hebat dari gajet yang dipakai oleh guru mahupun pensyarah. Jika ingin dihitung, sebenarnya barang keperluan (dharuri) tidaklah terlampau banyak. Ia hanya meliputi rumah, makanan, pakaian, ilmu pengetahuan, kasih sayang dan agama. Maka yang selebihnya adalah bonus. Jadi lihat semula perbelanjaan yang telah kamu lakukan sama ada boleh dikurangkan ataupun tidak seperti bil internet, bil astro, langganan majalah mingguan dan pelbagai lagi. Duit yang selebihnya boleh sahaja kamu laburkan untuk kegunaan masa hadapan.

10. Tidak mendapat tidur yang secukupnya.


sleepy
mengantuknya

Tidur yang secukupnya adalah penting. Ia adalah suatu rutin pemulihan setelah penat bekerja sepanjang hari. Jika kamu terlampau sibuk sehingga gagal mendapat rehat yang mencukupi atau mempunyai tabiat buruk berjaga malam sehingga awal pagi, kamu mesti ubat tabiat itu.

11. Tidak menjaga kesihatan.

Bukan hanya rehat mencukupi sahaja yang penting, malah makanan dan bersukan juga memainkan peranan yang sama. Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang serta mengamalkan gaya hidup sihat adalah lebih bagus dari mengurangkan berat badan. Ia memberikan kecerdasan akal dan semestinya menyihatkan badan. Jadi lihat semula diet dan aktiviti harian kamu selama ini adakah ia menepati jadual kesihatan ataupun tidak. Akhir sekali, kamu akan dapati dengan membuat sedikit perubahan sekaligus ia akan meningkatkan kualiti hidup kamu secara tidak sedar.

12. Kamu tidak dapat tinggalkan zon selesa.

Realitinya, siapa yang tidak mahu berada di zon selesa. Ia membuatkan kita berasa tenang, bahagia serta tidak perlu untuk bersusah payah. Seolah-olah dunia sekarang ini adalah syurga. Berterusan dalam zon selesa bererti tiada usaha untuk meningkatkan kualiti hidup. Harus diingat, ada perbezaan antara risiko dan menghitung risiko. Setiap risiko mempunyai untung dan ruginya bergantung sebesar mana risiko itu diambil tetapi menghitung risiko ialah kamu telah mengira segala kemungkinan yang akan berlaku dan telah menyediakan pelbagai pelan untuk mengatasinya.

13. Kamu tidak merasai kebahagiaan hidup.

Secara umumnya, cara mengukur kebahagiaan seseorang adalah dengan mengukur tahap kegembiraannya. Jika kamu tidak gembira, kamu perlu lakukan perubahan. Buat sesuatu yang baru yang dapat mengembirakan serta meletakkan hidup kamu ke arah yang lebih baik. Hidup seharusnya menyeronokkan dan menarik.

jangan putus asa
Jika ada mana-mana perkara di atas berkait dengan diri kamu, jangan cepat berputus asa. Kamu boleh ubahnya dengan melakukan perubahan. Pertama sekali kamu harus lenyapkan perasaan tidak boleh lakukan kepada sifat SAYA BOLEH! 

Halangan terbesar ialah individu itu sendiri. Nyalakan semangat dalam diri, ubah cara berfikir dan lakukan perubahan hidup !