Thursday, 30 January 2020

Surat PIBG untuk Ibu Bapa

surat layang tidak rasmi
Kepadamu...


Kita sebagai ibu bapa kena ambil iktibar
Inilah pendedahan segelintir perangai tidak elok ibu bapa.
Pada mereka yang pernah buat, harap insaf.
Pada yang belum terbabit, jangan sesekali lakukan.

Terdapat segelintir ibu bapa suka menipu tentang maklumat pendapatan.
Terutama apabila mereka kerja sendiri seperti berniaga atau tidak makan gaji.

Kebanyakan daripada mereka akan memilih pendapatan bawah RM1000 pada borang.
Ini kerana mereka tiada penyata gaji bulanan sebagai bukti.
Manakala pengesahan pendapatan boleh diperoleh melalui JKKK atau ketua kampung.
Apabila dibuat pengiraan, anak mereka secara automatik layak mendapat semua bantuan.
RMT, KWAMP, bantuan RM100 setiap pelajar dan sebagainya.

Tetapi hakikat sebaliknya berbeza.
Mereka mempunyai kereta mewah, mungkin dua atau tiga buah.
Rumah milik sendiri yang agak besar.
Duit poket anak pula mampu dihulur sehingga RM7 sehari.

MasyaAllah. Apakah tidak ada sekelumit rasa bersalah dalam hati?
Menipu pendapatan untuk sedikit bantuan.
Mengambil benda yang bukan hak.

Apakah status setiap suap nasi RMT yang anak mereka makan?
Apakah status setiap bantuan wang yang diterima?
Adakah halal atau haram statusnya?
Adakah mereka tahu hukum hakamnya?
Adakah masih punya agama?

Makan benda yang bukan hak sememangnya memberi kesan.
Tidak hairanlah bila anak belajar susah hendak faham.
Tidak hairanlah duit banyak tapi hidup tidak tenteram.
Itu belum hari akhirat punya pembalasan.

Usah tamak bantuan yang sedikit.
Usah gelojoh dengan peluang yang bukan hak milik.

Tidak berbaloi hanya kerana nilai bantuan sedikit yang diperoleh secara haram,
menjadi tetamu di neraka jahannam
kesannya besar pada anak-anak dan keberkatan hidup sepanjang zaman.

Yang bukan rezeki kita, lepaskan.
Hak orang lain, sila pulangkan.

Bila Allah dah tetapkan rezeki kita,
ikan yang terlepas pun lompat naik ke darat.

Begitulah.
Peringatan untuk semua...
Muhasabah diri...
Renungan bersama.



Ikhlas,
Pengerusi PIBG

Friday, 24 January 2020

Peristiwa - Peristiwa yang Tidak Patut Berlaku di Surau Awam



Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Ini terbukti apabila terzahir banyak masjid di tepi-tepi jalan seperti masjid negeri, masjid khusus atau masjid kampung. Bukan itu sahaja, surau-surau juga banyak tersedia di tempat kunjungan orang ramai seperti di medan selera, sekolah, pejabat, kompleks membeli belah malah di stesen minyak pun ada. Ini lah menunjukkan ramainya umat Islam di Malaysia. Terima kasih juga diucapkan kepada pemilik premis yang merasakan bertanggungjawab menyediakan ruang solat bagi kemudahan pengunjung.

Namun begitu, tidak semua surau awam ini tersergam gah dan seluas masjid di bandar-bandar besar. Saiz surau yang disediakan kecil dan mungkin cuma terhad tidak sampai 20 orang untuk setiap sesi. Ini menjadi masalah apabila tempat itu menjadi tumpuan seperti shopping complex atau hentian rehat & rawat. Tempat bertambah sesak jika waktu itu musim cuti sekolah atau hujung minggu. Bila ramai orang, banyaklah ragam dan banyak pulalah masalah yang timbul. Jadi menjadi kesedaran buat kita semua untuk tidak tergolong dalam jenis kumpulan macam ini di surau awam.

1. Jenis Telekung 'Aku Punya'

Nasihat pertama adalah untuk wanita. Kumpulan sebegini kebiasaannya menunaikan solat di akhir waktu dan terus sambung solat fardhu selepasnya. Dengar seolah-olah bagus tetapi mendapat ancaman juga kerana melewat-lewatkan solat. Sebagai contoh solat asar di hujung waktu, kemudian tunggu sekejap masuk waktu maghrib dan terus solat. Timbul masalah apabila telekung yang digunakan adalah telekung wakaf. Selepas selesai solat mereka tidak pulangkan dahulu telekung itu tetapi tetap tersarung sebab tunggu waktu solat seterusnya. Ini menyebabkan ramai pengguna lain tercari-cari telekung wakaf yang ada untuk solat asar.

Satu pengalaman yang dikongsi, ramai perempuan hampir tidak sempat solat asar di sebuah kompleks membeli belah terkenal kerana telekung wakaf telah habis akibat tiada kesedaran dari sesama kita untuk memulangkan semula atau meminjamkan dahulu telekung. Pengajaran pertama, jangan solat hujung waktu dan sila bawa telekung sendiri.

this is my territory

2. Jenis Book Kawasan

Surau adalah kawasan awam. Tiada diwartakan ia milik mana-mana individu. Walaubagaimanapun terdapat segelintir orang yang berbuat begitu dengan cara 'sewa tempat'. Juga berpunca ketika surau padat dan terpaksa bergilir-gilir. Modus operandinya dengan cara, ketika ramai orang sedang beratur untuk berwudhuk, mereka masuk ke ruang solat terlebih dahulu dan mengambil telekung wakaf yang sudah tinggal satu atau dua pasang lagi dan 'sewa' sejadah dengan barang-barangnya. Kemudian barulah dia tanggalkan tudung/selendang dan beratur panjang untuk wudhuk. Giliran untuk kamu dapat berwudhuk mungkin boleh selesai 4 rakaat solat. Maksudnya first come first serve. Biarlah orang yang sudah berwudhuk dahulu gunakan sejadah/telekung wakaf daripada mencari tempat kosong.

Tambahan lagi, selesai sahaja solat bergegaslah untuk kegunaan orang lain. Tidak perlu untuk berdandan di atas sejadah. Bergeraklah ke belakang atau ke tandas untuk berhias. Ramai lagi yang menunggu giliran untuk solat.


3. Jenis Solat Sendirian

solatlah berjemaah

Bila makan, ada berteman tidak makan seorang. Bila keluar berjalan, mesti jalan berkumpulan, tidak kisahlah empat atau lima orang asalkan bukan seorang. Alhamdulillah, bila pergi surau atau masjid pun bersama-sama tapi sayang solat masih nafsi-nafsi (seorang diri bukan berjemaah). Ada saranan daripada nabi untuk tidak bermusafir seorang diri kerana salah satu hikmahnya adalah dapat fadhilat menunaikan solat jemaah walaupun cuma dua orang.
Jika kamu seorang diri, apabila solat di masjid atau surau cubalah berinteraksi dengan orang lain untuk ajak solat berjemaah bersama kerana fadhilatnya terlampau besar berbanding solat seorang diri. Andai tiada lagi orang ketika itu untuk diajak berjemaah, janganlah terus solat di tepi tiang atau saf paling belakang kerana mungkin bakal makmum tiba agak lewat untuk tumpang fadhilat Jemaah bersama.


4. Jenis Tidak Jaga Kebersihan
Masjid atau surau adalah tempat tumpuan ramai. Kita sebagai pengguna harta bersama bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan premis awam. Praktik penggunaan tandas yang betul dengan meletakkan wayar air di tempatnya bukan terbiar jatuh di atas lantai. Jirus air selepas penggunaan tandas kerana kita tidak pasti adakah najis tercicir di atas lantai. Ini mengelakkan musibah bagi pengguna seterusnya. Tidak memakai kasut/selipar di tempat berkaki ayam seperti kawasan wudhuk sehingga laluan ke tempat solat. (Ikut keadaan setempat).

kebersihan sebahagian daripada iman


5. Jenis Kurang Arif Aulawiyat (Keutamaan)

Masalah ini timbul apabila kurangnya arif tentang amalan fardhu dengan amalan sunat. Perkara pertama ialah dalam pemilihan imam. Imam bukan hanya sekadar tahu rukun solat sahaja tetapi juga perlu tahu keadaan jemaah. Jika solat ditempat sesak dan ramai orang menunggu giliran, tidak perlu baca surah panjang (solat maghrib) atau terlampau berlagu. Cukup sekadar rukun dan syarat yang tidak mencacatkan solat fardhu itu. Tidak perlu berzikir, bertasbih atau berdoa. Boleh terus bangun beredar dari tikar sejadah selepas salam kerana solat adalah fardhu berbanding zikir atau doa yang sunat boleh ditinggalkan. Solat sunat juga boleh diganti pada waktu lain jika keadaan tidak mengizinkan. Utamakan yang fardhu.


Kesimpulannya.

Belajarlah untuk memahami keadaan setempat, cuba untuk bertimbang rasa dengan orang lain, solatlah di awal waktu, bawa telekung sendiri, waktu maghrib jangan sibuk ajak berjalan.